Home Nasional Rumah Bonda: Peguam bela asak saksi bercerita

Rumah Bonda: Peguam bela asak saksi bercerita

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Pasukan bela mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali hari ini berterusan mengasak saksi kelima dalam beberapa keterangan ‘tidak konsisten’ tentang dakwaan penderaan terhadap remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Peguam bela, Farhan Maaruf ketika soal balas berterusan bertanya bagaimana keterangan berkaitan penderaan didakwa dilakukan oleh Siti Bainun terhadap Bella tidak sama dengan laporan perubatan oleh tiga orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun Yasmin Nahar Mahmood,18, yang juga salah seorang penghuni Rumah Bonda berpegang teguh dengan setiap keterangan dalam penyataan saksinya.

Kata Yasmin, dia tidak tahu mengapa laporan perubatan tentang luka-luka dan parut oleh Bella itu tidak sama daripada tiga jabatan berbeza.

Farhan: Keterangan saksi oleh Yasmin sangat dahsyat sekali, Bella dipukul hari-hari selama tiga bulan tetapi doktor-doktor ini yang berpengalaman merawat ribuan pesakit tidak jumpa apa-apa kesan seperti lebam atau bengkak akibat dipukul.

Adakah Yasmin setuju dengan saya bahawa sebenarnya Bella tidak dipukul?

Yasmin: Tidak setuju.

Farhan: Tidak setuju? Jika tidak mengapa boleh pukul Bella tanpa ada kesan? Adakah itu kerana yang pukul Bella itu bukan Siti Bainun tapi telah dilakukan oleh Yasmin dan Aida (penghuni Rumah Bonda)?

Yasmin: Tidak betul.

Farhan: Yasmin pernah pukul orang? Tahukah Yasmin jika seseorang seperti Siti Bainun dengan susuk tubuh seperti ini, pukulan itu ada kesan. Jika Siti Bainun tampar orang seperti saya, mahu saya terduduk. Setuju?

Yasmin: Saya tidak pasti.

Dalam pada itu, Farhan turut mengasak keterangan Yasmin tentang bagaimana Bella yang didakwanya telah direndamkan dalam air panas oleh Siti Bainun boleh melecur tetapi tangan tertuduh tidak ada apa-apa kesan.

Kata Yasmin dia tidak tahu tetapi insiden itu benar-benar berlaku, yang mana Siti Bainun telah merendam remaja OKU itu dalam baldi berisi air panas sehingga melecur teruk.

“Bagaimana tapak tangan dan siku tidak melecur, adakah Siti Bainun telah menjumpai satu kaedah baharu untuk melecurkan Bella seperti itu?

“Juga bagaimana pula insiden dera Bella dengan kuali masak telur yang diletakkan di atas perut Bella? Jika kuali itu sebenarnya ‘frying pan’ mengapa bentuk parut jadi seperti segitiga dalam gambar ini kerana doktor merawat Bella berkata, parut itu bentuk segitiga,” soalnya namun Yasmin kata tidak tahu.

Selain itu Farhan juga ada bertanya mengapa ketika membuat laporan polis tentang penderaan terhadap Bella, ada perkara-perkara penting dalam kenyataan saksi tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Antaranya alat-alat digunakan untuk mendera setiap hari seperti penyangkut kain, rotan, besi langsir.

“Saya cadangkan kepada Yasmin sebenarnya kamu tidak beritahu kepada polis tentang semua itu kerana penderaan itu tidak berlaku. Banyak juga Yasmin tidak beritahu polis. Mengapa?,” soalnya.

Namun kata Yasmin, dia ada terfikir untuk memberitahu polis tentangnya namun tidak tahu mengapa tidak bercakap tentangnya.

Farhan juga ketika soal balas secara selang seli bertanya adakah Yasmin menyayangi Bella, saksi sentiasa angguk untuk soalan tersebut.

Ada juga ketika Farhan bertanya adakah Yasmin mempunyai perasaan marah dan cemburu terhadap Bella atas pelbagai sebab termasuklah perhatian diberikan oleh Siti Bainun terhadap penghuni lain di rumah kebajikan itu.

Yasmin tetap menafikan semua andaian peguam itu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok pagi. – MalaysiaGazette