KOTA KINABALU – Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan aktiviti pemindahan ilmu dengan melaksanakan Bengkel Pemindahan kepada Komuniti Bombon Marakau Ranau, baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan selama dua hari itu menyediakan lima slot penting iaitu Pengindahan Fasiliti Tagal, Konsep Perniagaan Kios Beroda, Penawaran dan Peragaan Produk Lokal, Seni Komersial Dalam Penghasilan Parang Tradisi serta Penggunaan Solar dan Relau dalam Perusahaan Parang.
Menurut Pengarah PKLM Dr. Jakaria Dasan, bengkel yang diselaraskan secara berjadual oleh pihaknya itu adalah sebahagian daripada usaha UMS untuk memastikan projek-projek yang dilaksanakan dalam komuniti yang menerima dana dari Kementerian Pengajian Tinggi dan UMS berjaya meningkatkan pendapatan komuniti secara konsisten.
Katanya, adalah menjadi harapan agar ilmu-ilmu berkaitan dapat memberi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh komuniti tersebut sekali gus meningkatkan daya tahan komuniti dalam memperkasakan lagi populariti
Bombon Marakau Ranau.
”Walaupun ruang yang banyak diberikan kepada komuniti menerusi peruntukan yang dibelanjakan, namun ia tidak menjamin kepada kelestarian perniagaan yang mereka usahakan sekiranya mereka tidak mengamalkan ilmu perniagaan yang relevan,
terkini, dan praktikal.
”Bombon Marakau Ranau merupakan salah satu destinasi pelancongan yang kian popular dan dilaksanakan oleh komuniti Kg. Marakau Ranau dengan produk utamanya adalah berasaskan kepada tagal ikan di Sungai Mansahaban Kg Marakau. Ikan-ikan ini sangat jinak dan kelihatan unik disebabkan saiznya yang besar dan terdiri daripada pelbagai spesies.
”Kelainan inilah yang mendapat perhatian para pengunjung. Selain dapat merasai pengalaman memberi makan kepada ikan-ikan ini, para pengunjung juga dapat menikmati urutan kaki secara semula jadi oleh ikan-ikan itu sendiri. Keseronokan
inilah yang menyebabkan kesanggupan untuk membayar (willingness to pay) berlaku,” jelasnya.
Tambah Jakaria, dengan keunikan komuniti Bombon yang dilihat setelah mengadakan beberapa siri lawatan ke kampung tersebut, UMS berbesar hati untuk berkongsi beberapa ruang penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keterlihatan
Bombon Marakau Ranau.
”Selain meningkatkan ciri dan reka bentuk berteraskan tradisi dan lokal, kepakaran para pensyarah dalam konsep perniagaan masa kini berorientasikan teknologi yang menyokong ekopelancongan juga diterapkan.
”Malah, UMS turut meransang kelestarian tagal ini dengan membangun sama produk-produk sampingan yang turut memeriahkan lagi persekitaran Bombon Marakau. Antara produk yang dibangunkan adalah penghasilan dan pemasaran
produk berasaskan kelulut, kraftangan, parang tradisi komuniti, produk makanan dari tuhau, kobis dan sebagainya,” katanya.
Bombon Marakau Ranau merupakan salah satu destinasi pelancongan yang turut mendapat sambutan hangat para pelancong luar negara sebelum pandemik Covid-19. Turut menjadi daya tarikan kelak adalah peragaan barangan menggunakan kios
beroda yang boleh dialihkan dari satu tempat ke satu tempat. – MalaysiaGazette