Home Nasional Warga emas dakwa kena kesan sampingan vaksin sebenarnya hidap kayap

Warga emas dakwa kena kesan sampingan vaksin sebenarnya hidap kayap

Ruam yang didakwa kesan sampingan pengambilan dos penggalak oleh seorang warga emas sebenarnya penyakit kayap.

KUALA LUMPUR – Warga emas yang didakwa mendapat kesan sampingan selepas mendakwa dirinya dipaksa untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 di salah sebuah klinik kesihatan di daerah Kuala Kangsar sebenarnya menghidap penyakit kayap.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, keputusan itu selepas warga emas itu dirujuk untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada 11 April 2022.

Rujukan itu dibuat setelah dia hadir ke Klinik Padang Rengas pada 8 April lalu mengadu mengalami ruam di bahagian kiri atas dada, leher dan bahu

Susulan itu, dia telah dirujuk kepada pakar dermatologi dan menjalankan pemeriksaan serta sampel bagi ujian makmal Tzanck Smear diambil.

”Warga emas itu telah disahkan menghidap penyakit herpes zoster atau kayap dan telah diberikan ubat antiviral dan ubat tahan sakit.

”Beliau telah diberikan tarikh temu janji susulan di klinik pakar pada 19 Mei 2022. Keadaan pesakit kini adalah stabil dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini bagi menjawab mesej tular mengenai warga emas itu baru-baru ini.

Lay Ming berkata, terdahulu warga emas tersebut telah hadir seorang diri ke Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk rawatan susulan penyakit kronik (dyslipidemia) pada 6 April lalu.

Semasa sesi konsultasi di bilik rawatan, pegawai perubatan mendapati dia belum pernah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

”Memandangkan beliau mempunyai masalah logistik dan sukar untuk datang ke klinik semula sekiranya terpaksa hadir untuk dos kedua, pegawai perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino,” ujarnya.

Malah, warga emas itu sendiri bersetuju untuk menerima suntikan tersebut serta telah menandatangani borang persetujuan vaksinasi Covid-19 dan disuntik pada hari yang sama. – MalaysiaGazette