Home Utama Tiket raya balik Kelantan habis sampai 2 Mei

Tiket raya balik Kelantan habis sampai 2 Mei

MELAKA – Tiket raya bagi perjalanan bas dari Melaka ke Kelantan habis dijual bagi tarikh antara 27 April sehingga 2 Mei depan.

Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn. Bhd. Abu Bakar Jani berkata, tiket bagi perjalanan ke destinasi Pantai Timur lain seperti Terengganu, Pahang selain beberapa destinasi ke utara pula menyaksikan permintaan yang tinggi.

“Secara keseluruhan sebanyak 619 tiket ke tujuh negeri telah dijual secara pembelian di kaunter bagi tarikh perjalanan seminggu sebelum perayaan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk pembelian secara dalam talian yang hanya diketahui apabila tiket ditebus di kaunter pada hari berlepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, tiket ke Kelantan telah habis dijual bagi tarikh 27 April sehingga 2 Mei, manakala Kedah dan Perlis turut habis bagi tarikh 29 dan 30 April.

“Kita jangkakan bilangan penumpang meningkat sehibgga 250 peratus daripada jumlah purata biasa iaitu sekitar 3,000 orang yang akan pulang ke negeri masing-masing untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, penjualan tiket bas tambahan bagi perjalanan ke Kelantan sudah pun dibuka, namun kesemua tiket telah habis terjual sehingga tarikh tersebut.

Katanya, setakat ini purata trip perjalanan yang dijadualkan pada Aidilfitri adalah sebanyak 145 trip sehari, dengan peningkatan sebanyak 25 trip berbanding hari biasa. – MalaysiaGazette