MELAKA – “Saya nak minta maaf, status isteri tu bukan sebab saya pukul dia, tapi dia tengah tengok drama, tak sangka pula media jadikan berita.”
Itu kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 27, bapa kepada Ainul Mardhiah, 4, bayi perempuan yang menghidap kanser germ cell tumor pada 2019 itu.
Beliau mengulas demikian selepas ditanya mengenai dua InstaStory isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 27, yang tular hari ini.
Menerusi statusnya itu, Nurul Erwani bertanya apa tindakan perlu dilakukan seorang isteri sekiranya dikasari oleh suami.
“Kalau korang kena sepak terajang, tinggal atau stay dan reda?” tulisnya yang memuat naik status itu pagi tadi.
Status itu kemudian dilaporkan sebuah portal berita yang menimbulkan persoalan apakah maksud di sebalik perkongsian itu.
Ahmad Safiuddin ketika dihubungi bagaimanapun hanya meminta maaf kerana telah membuatkan ramai salah sangka dengan tindakan isterinya itu.
“Sebenarnya, dia nak kongsi kisah drama tu dengan kawan-kawan dia, tak tahu pulak media ambil cerita tu, dia tengok drama tu pagi tadi saya pun tak tahu apa tajuknya sebab tak layan drama.
“Serba salah saya dibuatnya, inilah bahaya bila ramai sangat followers, sedangkan sebelum ini pun kami suka bergurau macam tu,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette di InstaStory Nurul Erwani, https://www.instagram.com/_nrlerwani/ pula mendapati ibu kepada dua anak itu juga menjelaskan keadaan sebenar.
“Minta maaf semua, jangan libatkan sesiapa pun sebab yang salah saya up status nak tanya pendapat, tapi salah langkah. Saya delete (padam) semua.
“Lepas ni nak cerita, kena masuk gambar dulu, baru boleh minta pendapat. Rupanya ramai tak tengok lagi cerita tu,” tulisnya sambil disertakan tangkap layar drama Episod 1 Nusyuz Berkiblat Cinta.
Sebelum ini, kisah anak mereka, Ainul Mardhiah pernah menggemparkan rakyat negara ini yang simpati dengan nasibnya menderita tumor di mulut ketika berusia lapan bulan.
Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London pada 10 Jun 2019.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia malah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom. – MalaysiaGazette