Home Nasional Nik Ezanee bakal kembali di lapangan

Nik Ezanee bakal kembali di lapangan

SAC Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Juruiring polis kepada Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dijangka kembali berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dilaporkan sebagai berkata, Perdana Menteri bersetuju dengan hasrat yang disuarakannya pada 2 April lalu selepas pulang dari Jakarta, Indonesia.

“Selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri pada 2 April lalu, saya juga membuat permohonan pertukaran dalam sistem penjawatan PDRM dan buat masa sekarang masih lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri,” katanya kepada Astro Awani.

Jelas beliau, keputusan itu dibuatnya selepas mempertimbangkan  pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya untuk  terus berkhidmat secara langsung di bawah PDRM dan berkhidmat kepada rakyat.

“Berhubung keputusan ini, saya merasai pengalaman dan kebolehan saya ini boleh saya sumbangkan kepada PDRM. Pengalaman yang ada mungkin boleh menambah baik pasukan PDRM.

“Buat masa ini, tiada sebarang keputusan mengenai permohonan itu dan saya sedia berkhidmat di lapangan,” tambahnya.

Beliau turut dilaporkan telah memaklumkan  permohonan pertukaran itu kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.

Sebagai rekod, Nik Ezanee pada 21 Disember 2021 adalah  antara lima yang terlibat dalam pertukaran jawatan serta-merta.

Beliau yang pada mulanya memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dilantik sebagai juruiring polis kepada Perdana Menteri.-MalaysiaGazette