KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap rejim Israel yang telah menyerang penganut Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa semalam.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, perbuatan itu sungguh tidak bertanggungjawab dan keji,.
Lebih-lebih lagi serangan itu dilakukan tatkala umat Islam di Palestin sedang menjalani ibadah puasa, katanya.
“Perbuatan keji dan tidak berperikemanusiaan tersebut amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang mulia dan ketika umat Islam Palestin sedang berpuasa dan menunaikan ibadah di dalam bulan Ramadan.
“Tentera rejim Israel yang turut menyasarkan wanita dalam serangan tersebut merupakan satu tindakan yang kejam dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, paskuan keselamatan rejim Israel menyerang beratus-ratus penduduk Palestin yang sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa semalam, menyebabkan puluhan mangsa cedera.
Memetik laporan Kosmo Online, tentera rejim Israel bertindak balas dengan memasuki perkarangan masjid berkenaan di mana beribu-ribu orang Islam berkumpul untuk menunaikan solat pada bulan Ramadan. – MalaysiaGazette