Home Nasional Aktiviti e-skuter bukan di atas jalan raya – MBPP

Aktiviti e-skuter bukan di atas jalan raya – MBPP

Tangkap layar menunjukkan pengunjung di Pulau Pinang menggunakan e-skuter di atas jalan raya.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan orang awam dan pengunjung di negeri ini agar tidak menaiki skuter elektrik atau e-skuter di atas jalan raya.

MBPP menerusi satu kenyataan Facebooknya berkata, e-skuter yang bersifat mikro mobiliti hanya digunakan di atas siar kaki awam atau satu kawasan yang diasingkan dari jalan raya.

“MBPP tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali dan pemantauan aktiviti e-skuter giat dijalankan demi keselamatan orang awam.

“Penggunaan e-skuter di atas jalan raya adalah di bawah tanggungjawab sendiri dan ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Anggota MBPP melakukan operasi memantau penggunaan e-skuter di atas jalan raya.

Tambah kenyataan itu, pihak MBPP semalam mengadakan operasi di sekitar pusat bandar dengan memberi tumpuan kepada penggunaan e-skuter secara berbahaya di atas jalan raya.

Operasi bermula jam 11 malam hingga 2 pagi itu diadakan susulan aduan yang mendakwa sekumpulan remaja menaiki e-skuter secara melulu di Lebuh Pantai, di sini beberapa hari lalu.

“Menerusi tinjauan MBPP, isu penggunaan e-skuter di atas jalan raya semakin berleluasa dan satu mesyuarat bagi menangani isu ini sudah diadakan antara MBPP,  Polis Diraja Malaysia  dan Jabatan Pengangkutan Jalan termasuk tindakan penguatkuasaan.

“Sebagai tindakan awal, operasi tinjauan aktiviti riadah e-skuter sudah diadakan yang mana pegawai MBPP juga turun padang dan memberi nasihat kepada pengendali e-skuter supaya tidak menggunakan jalan raya untuk aktiviti itu,” katanya. – MalaysiaGazette