Home Ekonomi Allo syarikat telekomunikasi jalur lebar terbaik

Allo syarikat telekomunikasi jalur lebar terbaik

KUALA LUMPUR –  (Allo), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) diberi pengiktirafan sebagai Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik bagi tahun 2022.

Anugerah itu diumumkan pada majlis Asian Telecom Awards 2022 yang diadakan secara maya pada bulan Mac, sebagai mengiktiraf usaha resposif Allo bagi merapatkan jurang digital di Malaysia.

Allo menyediakan perkhidmatan jalur lebar gentian optik berkualiti pada kadar yang berpatutan, seterusnya membuka peluang bagi mereka yang sebelum ini berada di luar capaian terutamanya di pinggir dan luar bandar.

Asian Telecom Awards dianjurkan oleh Asian Business Review bagi menghargai syarikat telekomunikasi terbaik yang mempelopori produk dan penyelesaian inovatif yang cemerlang serta kekal kukuh dalam pasaran yang mencabar tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata, Allo menyokong usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital menerusi inisatif Jendela yang telah menetapkan sasaran untuk menghubungkan 7.5 juta premis menjelang akhir tahun ini.

Ir. Mohamed Ghous Ahmad

 

 

 

 

Sehingga kini, Allo telah menghubungkan lebih 180,000 kediaman di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan capaian internet jalur lebar gentian optik.

Allo menetapkan sasaran untuk mencapai 300,000 kediaman menjelang akhir tahun ini.

“Dengan bersandarkan kepada rangkaian gentian optik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo bekerjasama dengan pelbagai Pembekal Perkhidmatan Retail (RSP) bagi menyediakan internet jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga yang berpatutuan di kawasan yang terdahulunya berada di luar capaian.

”Usaha ini dapat merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat Malaysia di kawasan
pinggir dan luar bandar menerusi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti. – MalaysiaGazette