KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melakukan pembayaran pengeluaran khas pencarum secara berperingkat mulai esok, bukannya 20 April seperti yang diumumkan sebelum ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran esok adalah bagi permohonan yang dibuat pada awal bulan ini.
“Bagi yang membuat permohonan awal bulan ini bolehlah check akaun masing-masing esok.
“Tapi kalau belum masuk lagi jangan risau, insya-Allah akan masuk juga kerana bayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya di sini.
Tengku Zafrul berharap semoga pengeluaran khas ini dapat menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna.
Permohonan pengeluaran khas KWSP dengan had maksimum RM10,000 boleh dibuat mulai 1 April hingga 30 April ini.
Kebenaran pengeluaran ini hanya bagi ahli yang berumur di bawah 55 tahun sahaja.
Semalam, KWSP berkata, pihaknya sudah menerima sejumlah 5.3 juta permohonan bernilai RM40.1 bilion di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setakat 8 malam, 14 April lalu. – MalaysiaGazette