INOVASI merupakan suatu pembaharuan dalam penggunaan teknologi yang pada awal kehadiran inovasi tersebut yang dianggap sukar dan rumit. Sebagai gambaran yang terdekat, gangguan inovasi adalah seperti penggunaan aplikasi, penggunaan media sosial, penggunaan enjin carian dan sebagainya yang berkaitan inovasi teknologi. Gangguan inovasi yang berlaku dapat merubah budaya sesebuah masyarakat dengan begitu cepat. Tambahan pula, dunia yang dilanda Covid-19 mengetengahkan lagi perihal gangguan inovasi dalam pelbagai bentuk.
Sebagai contoh, peniaga kecil yang sebelum ini tidak mempunyai akaun secara atas talian telah pun mempunyai akaun di media sosial dan menyertai kumpulan-kumpulan peniaga yang lain secara maya. Gangguan inovasi seperti ini dilihat memberi impak secara positif kepada peniaga kecil. Terdapat banyak proses perniagaan yang dapat dilakukan dengan pantas, jimat tenaga dan tanpa bersemuka. Jika peniaga-peniaga kecil tidak mengendahkan munculnya gangguan inovasi, maka perniagaan mereka akan jauh ketinggalan dan tidak sejajar dengan pembudayaan perniagaan baharu.
Selain itu, gangguan inovasi membantu dalam mencipta peluang pekerjaan di samping menanggani masalah pengangguran yang tinggi. Hal ini sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Situasi ini dapat dibuktikan dengan wujudnya pelbagai aplikasi yang digunakan peniaga kecil bagi penghantaran produk atau servis mereka. Oleh itu, kita dapat lihat kini, ramai anak muda yang menyertai pekerjaan sebagai penghantar makanan. Syarikat penghantar makanan juga bak cendawan yang tumbuh selepas hujan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan.
Dalam pada itu, secara tidak langsung, gangguan inovasi menjadikan peniaga kecil beroperasi secara sistematik dan terkawal. Lebih-lebih lagi, dunia kini memerlukan segala maklumat yang dapat diakses serta merta. Stokis peniaga kecil seharusnya mempunyai nama yang berdaftar, lokasi yang dapat dikesan, produk yang dinyatakan harga dan pelbagai informasi lanjut yang boleh di dapatkan di hujung jari pelanggan. Tambahan pula, segala pesanan produk atau servis dapat dilakukan tanpa mengunjungi stokis. Pelanggan juga dapat melakukan pilihan yang bijak dengan membandingkan harga dan kualiti produk secara atas talian dengan mudah.
Maka dengan gangguan inovasi, peniaga kecil dapat membina perniagaan mereka dengan lebih kukuh. Rentetan itu, jurang inovasi di antara peniaga kecil dan pemilik syarikat besar serta francais dapat dikecilkan. Tidak hairan juga jika peniaga kecil dapat membina empayar peniagaan di medan antarabangasa kelak. Hal ini kerana inovasi turut merupakan faktor persekitaran makro yang menyumbang kepada pengantarabangsaan peniagaan dan perluasan pasaran. Justeru, gangguan inovasi ini bertindak
sebagai pemula bagi perubahan operasi perniagaan peniaga kecil. Seterusnya, gangguan inovasi membuahkan hikmah yang tersembunyi kepada bukan sahaja peniaga kecil bahkan seluruh umat manusia.
Oleh: Razinda Tasnim Abdul Rahim
Pensyarah,
Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan,
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)