Home Politik Ketua Armada PPBM terdesak sampai tak nampak Siti Bainun rakan partinya –...

Ketua Armada PPBM terdesak sampai tak nampak Siti Bainun rakan partinya – Najib

Najib Razak

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terdesak apabila berkongsi postingnya berkaitan Siti Bainun Ahd Razali pada tahun 2016.

Akibat terdesak hingga Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak nampak siapa yang sebenarnya bertanggung jawab walaupun pernah dijelaskan bahawa wanita itu adalah rakan partinya.

”Saya tahu pihak sebelah sana cuba kaitkan saya dengan #JusticeForBella sebab saya pernah hadir dalam sebuah majlis yang dianjur Puteri UMNO 6 tahun dahulu pada tahun 2016 di mana Siti Bainun, diberi Anugerah Khas.

”Sebab saya pernah hadir satu majlis yang dianjur orang lain, kamu nak kaitkan dengan saya? Boss kamu Muhyiddin dulu pun dalam parti saya. Sekarang kamu gelar saya “perompak”. Kamu nak kaitkan Muhyiddin dengan “perompak” sebab dia pernah dalam kabinet dan parti saya tak?

”Ada akal, tak?,” tempelak Najib.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Wan Fayhsal dalam berkongsi hantaran Najib pada 2016 yang menunjukkan Siti Bainun, tertuduh dalam kes Bella menerima Anugerah Khas Puteri UMNO.

Tegas Najib lagi, bukan beliau yang pilih penerima anugerah .tersebut pada tahun 2016.

”Sebab itu, ianya lebih elok untuk kamu bertanya terus kepada Ketua Puteri UMNO tahun 2016 yang sudah lompat ke PPBM.

”WAF, tanyalah kawan kamu sekarang,” kata Najib lagi.

Dalam hantaran berasingan, Najib berkata, pertuduhan yang membabitkan Siti Bainun berlaku antara bulan Februari hingga Jun 2021 tahun lepas.

Ketika itu, negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan ‘separuh masak’.

”Jadi, bagaimana pulak PPBM boleh kaitkan dengan posting saya pada tahun 2016 – iaitu 5 tahun dahulu. Lebih-lebih lagi ianya berkenaan satu acara Puteri UMNO yang saya hadir sebagai presiden UMNO masa itu.

”Yang calonkan dia pula ialah ketua Puteri UMNO yang telah melompat ke PPBM sejurus selepas PRU14.

”Bagaimana pula tragedi ini tiba-tiba menjadi salah Najib pada bulan puasa tahun 2022 ini?,” ujarnya. – MalaysiaGazette