Home Nasional Lelaki asing tak pakai berpelitup muka, tunjuk isyarat lucah di pasar raya

Lelaki asing tak pakai berpelitup muka, tunjuk isyarat lucah di pasar raya

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan  membabitkan seorang lelaki dipercayai warga asing yang tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan itu dijalankan selepas polis mengesan satu video tular berdurasi 18 saat yang telah dimuat naik oleh dua pemilik akaun sosial TikTok.

“Video berkenaan memaparkan seorang lelaki disyaki bukan warganegara tidak memakai pelitup mukanya dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pasar raya tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Rentetan kejadian itu, tambah Ashari, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sedang menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil segera menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu melicinkan siasatan kami,” ujarnya.-MalaysiaGazette