Home Nasional Pelaut bukan PATI, harap tindakan tahan lebih 8 jam tidak berlaku lagi...

Pelaut bukan PATI, harap tindakan tahan lebih 8 jam tidak berlaku lagi – Jeyendran

Jurutera dari China di tahan lapan jam oleh Jabatan Imigresen kelmarin.

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa menahan seorang ketua jurutera dari China (seafarer) selama lebih lapan jam kelmarin mendapat kritikan pemain industri perkapalan.

Ketua Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R Jeyendran yang sudah lebih 20 tahun terlibat dalam dunia perkapalan berkata,  insiden itu cukup memalukan dan berharap ianya tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Ingat ya, yang anda tahan berjam-jam seperti itu bukanlah dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) yang menceroboh sebaliknya seorang dalam kalangan profesional, beliau ada ketua jurutera dari China. 

“Jika garis panduan (SOP) tidak jelas, sepatutnya pihak berwajib perlu tanganinya terlebih dahulu, janganlah menyusahkan pihak lain lagi-lagi yang datang dari luar. Hormati mereka seadanya, janganlah (tahan) sehingga lebih lapan jam.

“Untuk makluman, seafarer (pelaut) adalah golongan berpelajaran dan berpengalaman, sepatutnya insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ini bukan juga satu isu yang baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dedahnya, sebelum ini anak- anak kapal juga ada isu sama.

“Memandangkan keadaan pandemik serta garis panduan kemasukan mereka ke sini berkuatkuasa pada 1 April lepas dengan tempoh kuarantin dan sebagainya, saya terpaksa juga bercakap dengan pihak berkuasa, semak kembali SOP dan sebagainya,” tambah beliau.

R. Jeyendran

Semalam, ketua jurutera China itu yang melakukan proses ‘sign off’ sebelum masuk ke Malaysia di Pelabuhan Klang namun telah ditahan oleh imigresen antara pukul 4 sehingga 12.30 tengah malam.

Jeyendran mendedahkan, walaupun jurutera itu memiliki semua dokumen lengkap namun beliau tetap ditahan malah setelah menunjukan surat pelepasan, jurutera itu tidak diberikan pas khas seperti SOP disediakan pihak berkuasa.

“Ketua jurutera itu ada surat pelepasan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) tapi tetap di tahan.

“Mulanya Imigresen hanya mahu berikan pas untuk tiga hari sahaja namun setelah perbincangan lebih lapan jam barulah diberikan kebenaran.

“Untuk makluman, sejak 31 Mac lepas Kedutaan China juga telah mengeluarkan surat pekeliling untuk memberi panduan semua warga China masuk ke negara ini diberikan kebenaran tinggal sehingga 21 hari sebelum pulang.

“Jika semua ikut panduan dan peraturan mengapa wujud kekeliruan seperti ini? Sepatutnya semua bekerjasama antara satu sama lain supaya isu seperti ini tidak timbul,” tegasnya.

MalaysiaGazette difahamkan isu tersebut dapat di selesaikan setelah dibawa kepada pengetahuan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ka Siong mendedahkan kepada media, isu itu telah selesai namun berharap pada masa-masa akan datang semua jabatan perlu bekerjasama bagi mengelakan sebarang kekeliruan. -MalaysiaGazette