Home Politik Pemilihan PKR 2022: Saya percaya kebijaksanaan ahli – Fahmi

Pemilihan PKR 2022: Saya percaya kebijaksanaan ahli – Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden bagi Pemilihan PKR 2022, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil lebih meletakkan kepercayaan terhadap kebijaksanaan ahli PKR dalam mengundi berbanding strategi pembentukan ‘cai’ atau kem.

Beliau berkata, ini kerana sistem ‘cai’ belum dapat dipastikan keberkesanannya kerana pada akhirnya ia bergantung kepada penilaian ahli PKR dalam sesuatu kem untuk memilih calon yang mereka rasa layak bagi memegang sesuatu jawatan yang dipertandingkan.

“Ini yang baiknya satu anggota, satu undi. Kerana pada akhirnya, pemilihan itu bergantung kepada penilaian anggota terhadap mana-mana satu pimpinan dan sebenarnya sistem ‘cai’ ini lebih kepada sekiranya tokoh-tokoh (calon) itu mungkin kurang dikenali atau senarai (calon) itu panjang…

“Dulu semasa pemilihan pada 2018, sememangnya wujud (keadaan) di mana (calon) tidak berapa dikenali maka mereka pilih siapa yang dicadangkan oleh mana-mana pihak tetapi bila kami teliti keputusan ia tidak memberi bayangan bahawa ‘cai’ ini berkesan,” katanya yang diminta mengulas mengenai pembentukan ‘cai’ bagi pemilihan parti itu tahun ini.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata demikian pada sidang media berkenaan ‘Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak’ di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil. – MalaysiaGazette