PUTRAJAYA – Peniaga gerai mi ‘berulat’ diarahkan menutup premis mereka mulai 15 hingga 29 April ini sehingga Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Badan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia berpuas hati dengan langkah-langkah yang perlu dipatuhi.
Kementerian Wilayah Persekutuan melalui PPj mengarahkan penutupan itu selepas tapak menjaja gerai itu di Bazar Ramadan Presint 3, dekat sini didapati kotor.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, selain itu peniaga terbabit didapati melanggar beberapa peraturan yang dikeluarkan Badan Pelesenan PPj.
”Berkenaan tular gerai mi tonggek ada ulat, siasatan mendapati kebersihan di kawasan itu memang diabaikan oleh peniaga.
”Maka, Ppj melalui Pusat Kesihatan Daerah di sini sudah beri notis henti operasi dan kompaun kerana kotor dan ada pekerja belum dapat suntikan tifoid,” katanya pada sidang media selepas tinjauan bazar di sini, hari ini.
Selain itu, menurut beliau, 15 gerai lagi peniaga bazar di sini termasuk di Bazar Ramadan Presint 14 telah diberikan amaran awal kerana gagal menepati syarat ditetapkan.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, aspek kebersihan menjadi syarat utama dikenakan kepada peniaga yang ingin mendapatkan lesen perniagaan di bazar bagi seluruh Wilayah Persekutuan.
”Sebelum mendapatkan lesen perniagaan makanan, aspek kebersihan paling kami utamakan dan operasi boleh dihentikan jika peniaga gagal mematuhi syarat ditetapkan,” tegasnya. ujarnya.
Sementara itu, Jalaluddin turut memuji usaha PPj yang menyediakan tong hitam khas untuk peniaga membuang sisa cecair seperti kuah dan air balang bagi mengelakkan sebarang pencemaran.
”Banyak usaha PPj yang baik termasuklah program Jom Biodiesel yang kumpulkan minyak masak terpakai di Bazar Ramadan Putrajaya untuk diproses sebagai biodiesel,” ulasnya.
Tambah beliau, keselamatan para pengunjung sentiasa terjamin selepas PPj meningkatkan operasi sanitasi tiga kali sehari untuk seluruh bazar Ramadan di Putrajaya – MalaysiaGazette