TAHUN 2020 memberikan tamparan hebat kepada ekonomi negara kita akibat daripada penularan wabak Covid-19. Pertumbuhan ekonomi merosot pada 5.65%. Kerajaan mengambil pelbagai insentif termasuklah memberi pakej ransangan untuk memulihkan keadaan ekonomi. Lantaran itu, ekonomi dijangka meningkat 5.5 – 6.5% pada tahun ini. Taraf hidup rakyat Malaysia juga dijangka meningkat pada tahun ini berbanding tahun 2020. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita turut dijangka meningkat kepada RM12,295.73 berbanding RM10,231.34 pada tahun 2020. Seluruh rakyat Malaysia menghembuskan nafas lega melihat ekonomi kembali pulih.
Namun sebalik kelegaan itu, harus diingatkan juga terdapat pelbagai keburukan yang bakal dilihat. Antaranya adalah peningkatan penderaan kanak-kanak. Ini adalah kerana terdapat kajian yang dilakukan dan diterbitkan pada tahun 2021 dalam “Economics Bulletin”, Jilid 41 dan Isu 3 mendapati bahawa semakin tinggi petumbuhan ekonomi, semakin tinggi jumlah kes penderaan kanak-kanak di Malaysia. Maka tidak hairan lah kenapa Amerika Syarikat yang merupakan ekonomi terbesar di dunia mencatatkan kadar penderaan kanak-kanak yang tertinggi di dunia.
Isu penderaan kanak-kanak masih belum dapat ditangani dan dikawal. Jumlah penderaan kanak-kanak yang dilaporkan saban tahun semakin meningkat. Pada tahun 2018 jumlah kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan adalah 6,274 kes dan meningkat kepada 6,382 kes pada tahun 2019. Namun kes penderaan kanak-kanak menurun pada 5,836 kes semasa ekonomi merosot. Bermula pada tahun 1995, lebih seribu kes penderaan diaporkan setiap tahun. Sebenarnya terdapat banyak lagi kes penderaan kanak-kanak yang tidak dilaporkan disebabkan faktor-faktor terentu seperti malu, takut dan sebagainya. Apa yang menyedihkan lagi, kebanyakan kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan adalah dilakukan oleh ibunya sendiri.
Terdapat pelbagai jenis penderaan kanak-kanak seperti penderaan fizikal, penderaan seksual, pengabaian dan sebagainya. Sekiranya penyakit ini terus berpanjangan dalam masyarakat kita, ia mungkin akan mengakibatkan barah yang sukar untuk dirawat lagi. Natijahnya sangat besar kepada pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri. Selain kecederaan fizikal, penderaan akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan mental kanak-kanak itu sendiri. Kajian telah mendapati bahawa kanak-kanak yang didera lebih cenderung untuk membuli rakan-rakan dan apabila mereka sudah dewasa mereka juga cenderung untuk melakukan jenayah.
Apabila ekonomi meningkat, produktiviti sesebuah negara meningkat. Ibu bapa yang bekerja untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Wanita juga turut bekerja disebabkan taraf pendidikan dan pertumbuhan ekonomi yang meningkat. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih cenderung mengalami tekanan di tempat kerja terutamanya golongan ibu kerana mereka terpaksa membahagikan masa bukan hanya untuk kerja malah juga untuk keluarga. Natijahnya, mereka akan melepaskan tekanan mereka kepada anak mereka sendiri. Selain daripada itu juga, apabila kedua-dua ibu bapa bekerja mereka akan menempatkan anak-anak mereka di rumah asuhan atau ditinggalkan bersama pembantu rumah. Hal ini juga mengundang kepada penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh pengasuh. Terdapat juga pengasuh yang melakukan penderaan yang lebih kejam berbanding dengan ibu bapa disebabkan hubungan bukan darah daging antara pengasuh dengan kanak-kanak.
Sebenarnya masalah ini dapat ditangani meskipun pertumbuhan ekonomi meningkat dengan cara bagaimana ibu bapa menguruskan tekanan mereka dan bagaimana hubungan mereka bersama anak-anak terus dipelihara. Mereka harus bijak mengawal tekanan untuk mengelakkan daripada dilepaskan kepada anak-anak yang tidak bersalah. Mereka perlu berjumpa dengan kaunselor sekiranya mereka merasakan sukar untuk mengawal emosi dan tekanan mereka. Selain daripada itu juga, hukuman yang berat perlu dikenakan kepada pelaku.
Dr. Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis