Home Nasional Bakar al-Quran tindakan melampau, biadab – Idris

Bakar al-Quran tindakan melampau, biadab – Idris

Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik di Sweden membakar naskhah al-Quran dianggap sebagai melampau dan tidak mencerminkan kebebasan suara yang diamalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan terutama oleh seorang ahli politik.

Menurutnya, Islam adalah agama yang sangat mementingkan penganutnya untuk menghormati agama lain dan tidak mencampuri urusan kepercayaan lain.

“Ia perkara yang sepatutnya tidak berlaku. Kita sendiri pun tidak boleh, bukan setakat nak bakar kitab dia dan sebagainya, kita tak boleh hina sembahan mereka.

“Sepatutnya agama lain pun hormat. Jangan tiupkan perkara yang bersifat provokasi, kerana orang Islam juga ada sensitiviti dalam hal seperti ini kita agak sensitif,” kata di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, media antarabangsa melaporkan aksi pemimpin parti Stram Kurs berhaluan kanan anti-Islam, Rasmus Paludan bertindak biadab membakar kitab suci itu di bandar Linkoping.

Beliau dengan angkuh tidak menghiraukan bantahan sekumpulan 200 orang awam dari pelbagai agama yang mendesak polis tempatan agar menghentikan perlakuan itu.

Pemimpin kelahiran Denmark berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.

Pada hari sama, kerajaan Malaysia menerusi kenyataan Wisma Putra, mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang disifatkan sebagai perbuatan keji dan melampaui batasan serta garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama.

“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi dan berniat menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang ingin hidup bersama dalam budaya damai,” kata kenyataan itu. – Malaysia Gazette