Home Nasional Kes SRC: Najib mohon lebih masa bagi fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Kes SRC: Najib mohon lebih masa bagi fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memohon lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen rayuan berkaitan kes penyelewengan dana SRC International (SRC) bernilai RM42 juta di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah diarahkan untuk memfailkan petisyen rayuan sekitar 25 April bulan ini dengan rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan telah diserahkan kepada pasukan pembelaan dan pendakwaan pada 31 Mac lepas.

Untuk rekod, sepatutnya petisyen berkenaan perlu dilakukan dalam tempoh 10 hari mengikut prosedur mahkamah.

Dalam afidavit yang menyokong permohonan itu, Najib memohon untuk masa tambahan memandangkan terdapat 176 jilid rekod rayuan dan ianya perlu masa untuk diteliti oleh pasukan pembelaan mewakilinya.

Perkara itu juga menurut Najib telah dimaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram dan Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul ketika pengurusan kes.

Difahamkan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung permohonan tersebut.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najibterhadap sabitan dan hukumannya bagi beberapa pertuduhan melibatkan kira-kira RM42 juta dana SRC dengan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat tersebut.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -MalaysiaGazette