Home Nasional Melaka sasar 305 beca ‘cashless’ sebelum Aidilfitri

Melaka sasar 305 beca ‘cashless’ sebelum Aidilfitri

Sulaiman (tengah) menggunakan kemudahan Touch 'n Go eWallet sebelum menggunakan perkhidmatan beca di Melaka yang menyasarkan semua 305 pengayuh beca dilengkapi kemudahan itu akhir April ini.

MELAKA – Melaka menyasarkan semua 305 pengayuh beca berdaftar dilengkapi kemudahan Touch ‘n Go (TNG) eWallet, akhir April ini sekaligus menjadi antara negeri pertama menyediakan perkhidmatan beca tanpa tunai di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, usaha melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) itu juga adalah antara langkah mencegah penularan wabak Covid-19 memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 80 peratus atau 244 pengayuh beca berdaftar di negeri ini mempunyai aplikasi berkenaan yang disasarkan mencapai 100 peratus sebelum Aidilfitri ini.

“Saya difahamkan, hampir 80 peratus pengayuh beca berdaftar di Melaka telah mengamalkan bayaran melalui applikasi eWallet Touch ‘n Go sesuai dengan peredaran masa.

“Sasaran kita, sebelum raya (Aidilfitri) ini elok kita daftarkan semua pengayuh beca dan bila ini disukai pelancong kerana dapat mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19, pendapatan mereka juga mungkin boleh meningkat sekali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh-Pengayuh Beca Melaka di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), di sini, hari ini.

Amran Hashim

Sementara itu pengayuh beca, Amran Hashim, 50, berkata, usaha berkenaan tepat pada masanya kerana dia juga sering diajukan soalan sama daripada pelancong yang bimbang penggunaan wang tunai meningkatkan risiko jangkitan virus Covid-19.

“Kemudahan ini secara tidak langsung dapat menjamin kesihatan semua pihak, meningkatkan keyakinan dan bila semakin ramai naik beca, pendapatan kami juga akan meningkat,” katanya yang mengayuh beca sejak 10 tahun lalu.

Muhd Izwan Taib

Bagi Muhd Izwan Taib, 31, penggunaan eWallet juga memudahkan golongan muda sepertinya menguruskan perbelanjaan apabila pendapatan dimasukkan terus ke dalam akaun Touch ‘n Go miliknya.

“Biasanya bila pegang wang tunai ini, kita lebih boros berbelanja, tapi dengan adanya eWallet lebih jimat kerana kita sendiri tak sedar berapa kutipan kerana semuanya disimpan secara digital,” katanya. – MalaysiaGazette