KUANTAN – Memasuki minggu ketiga Ramadan, umat Islam dijemput sama-sama meningkatkan ibadah dan mengimarahkan pelbagai aktiviti Ramadan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan di Pahang.
Imam 1 Masjid Negeri, Afif Aisar Ahmad berkata, aktiviti qiamulail dijalankan dengan solat sunat tasbih berjemaah pada pukul 4 pagi disusuli sahur bermula 17 Ramadan ini dijalankan di masjid.
Tambah Afif, ibadah solat sunat tarawih di sini dilakukan sebanyak 20 rakaat dijalankan oleh 10 imam dari Pahang dan enam bilal secara berjadual.
“Sebanyak 600 pek makanan berbuka disediakan bagi jemaah di masjid dan mereka digalakkan berbuka dalam ruang masjid yang disediakan.
“Aktiviti moreh turut disediakan secara berbungkus sebanyak 500 pek selepas tarawih di kawasan perkarangan masjid yang diberi nama Kampung Ramadan.
“Manakala 200 pek makanan untuk bersahur juga disediakan selepas aktiviti qiamulail dijalankan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Afif Aisar berkata, jemaah memanfaatkan bulan mulia ini dengan berbuka puasa dan beriktikaf di masjid bersama keluarga malahan kanak-kanak dibenarkan turut serta dengan pengawasan oleh ibu bapa.
Selain itu, pengisian harian seperti program tadarus Al-Quran dijalankan setiap hari bermula pukul 8.30 pagi sehingga sebelum waktu Zohor sepanjang bulan puasa.
Beliau merangkap Pegawai Agama Hal Ehwal Islam, Komuniti Tadarus itu, ia melibatkan 60 warga emas termasuk muslimin dan muslimat yang dibahagikan kumpulan kecil.
Tazkirah ringkas sebelum waktu azan Magrib berdurasi 10 minit juga diperdengarkan dengan bunyi berskala besar bagi dimanfaatkan kepada masyarakat yang berbuka puasa di Padang MPK 2 yang menjadi tradisi di negeri ini.
“Ada kuliah Subuh Ramadan dijalankan pada hujung minggu setiap Sabtu dan Ahad selain daripada menjemput penceramah selebriti berkongsi ilmu, semua jadual boleh rujuk facebook Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.
“Pihak masjid juga meneruskan program jangkaun luar menerusi program Santuni Dhua’fa dengan membuat kutipan tabung untuk diagihkan kepada anak yatim dan 13 pusat jagaan terpilih,” katanya. – MalaysiaGazette