KUALA LUMPUR – Bayaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih awal berbanding jadual asal pada 20 April ini membuktikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kemampuan untuk menunaikan permintaan rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembayaran segera tersebut juga membuktikan tohmahan bahawa beliau dan UMNO menghasut rakyat juga tidak benar.
“Selepas dibenarkan kini disegerakan maka terbuktilah KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat.
“Tahniah kepada semua yang bersama dalam desakan kepada Kementerian Kewangan supaya membenarkan pengeluaran itu sebelum ini.
“Ini juga bermakna tidaklah benar tuduhan dilemparkan terhadap saya dan UMNO sengaja menghasut rakyat mengenai pengeluaran khas wang KWSP,” kata Ahmad Zahid di media sosialnya.
Menurut Ahmad Zahid, dengan pembayaran segera itu bermakna dakwaan pengeluaran kemudahan pengeluaran khas RM10,000 akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP juga adalah tidak benar.
Apa yang pasti, katanya, ramai akan mendapat manfaat terhadap pengeluaran itu termasuk mereka yang gigih memfitnah beliau dan UMNO sebelum ini.
“Para pencarum yang menerimanya akan mendapat manfaat juga para peniaga yang menerima tempias daripada pertambahan aliran tunai dalam pasaran.
“Dan tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta supaya rakyat memahami bahawa sejak dari awal desakan pengeluaran khas wang simpanan KWSP bukan bertujuan memewahkan sambutan perayaan.
Sebaliknya, pengeluaran KWSP untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik Covid-19.
“Justeru, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk bangkit dan keluar daripada kesulitan yang sedang dihadapi dan saya doakan segala usaha saudara saudari dipermudahkan,” kata Ahmad Zahid.
Semalam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan mengkreditkan bayaran itu lebih awal kerana ramai yang meminta ia dipercepatkan.
Tengku Zafrul berkata, beliau mendengar suara rakyat dan setelah berbincang dengan KWSP pengeluaran khas simpanan persaraan itu akan dikreditkan secara berperingkat mulai hari ini. – MalaysiaGazette