Home Nasional PM akan umum penyelesaian isu harga tiket kapal terbang tinggi

PM akan umum penyelesaian isu harga tiket kapal terbang tinggi

Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Isu harga tiket kapal terbang yang melambung tinggi dijangka dapat diselesaikan menerusi pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah menyerahkan intipati mesyuarat selama 72 jam bermula Khamis lalu yang dijalankan oleh kementeriannya bersama-sama pemain industri penerbangan.

“Trend ini (kenaikan harga tiket kapal terbang) bukan saja di Malaysia banyak tempat tapi dalam keadaan Malaysia ini berhubung dengan Sabah dan Sarawak sangat penting dan setelah kerajaan masuk campur dari hari Khamis sudah ada satu langkah penyelesaian di mana saya rasa boleh dilaksanakan dan saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk umumkan,” katanya.

Ka Siong berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jamaluddin Alias.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Menurutnya berdasarkan laporan media, harga tiket berkenaan dikatakan naik sehingga 500 peratus pada musim perayaan, dan beliau menyifatkan ia sebagai ‘agak melampau’ kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri-negeri berkenaan selain dengan menaiki kapal terbang.

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.

Dalam pada itu Ka Siong berkata, kementeriannya mengambil pandangan semua pihak dan juga kekangan syarikat penerbangan dalam menyelesaikan isu yang timbul pada musim perayaan ini.

“Ramai tidak faham, kita tidak boleh tambah pesawat kerana sudah dua tahun tidak bergerak serta perlu melakukan pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette