Home Pendapat 10 sebab mengapa Ismail Sabri calon PM terbaik UMNO pada PRU-15

10 sebab mengapa Ismail Sabri calon PM terbaik UMNO pada PRU-15

Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya pada 14 April lalu telah membuat satu keputusan yang dikira agak mengejutkan bila ia telah dengan secara sebulat suara mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi pihak Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan ini dilihat agak mengejutkan kerana kelazimannya pengumuman mengenai seseorang calon Perdana Menteri akan hanya dibuat setelah demam Pilihan Raya Umum (PRU) mula terasa, biasanya setelah kempen PRU bermula sebaik sahaja penamaan calon selesai bersekali dengan pelancaran manifesto PRU atau sesudah Parlimen dibubarkan.

Sesungguhnya pengumuman calon Perdana Menteri lebih awal yang dibuat oleh UMNO ini merupakan satu langkah betul yang menandakan keazaman dan kesediaan UMNO untuk kembali mengambil-alih dengan sepenuhnya tampuk pemerintahan negara dalam PRU15 serta merupakan satu perkembangan yang perlu dibimbangi oleh lawan-lawan politiknya.

Berdasarkan kepada keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, ternyata pengumuman lebih awal calon ketua kerajaan, sama ada Ketua Menteri atau Menteri Besar, memberi kelebihan kepada parti politik yang berbuat demikian dalam erti kata bahawa ia memberi keyakinan yang lebih tinggi untuk para pengundi memilih parti politik itu.

Pengumuman calon ketua kerajaan lebih awal sememangnya memberikan kelebihan yang besar kepada sesebuah parti politik yang sedang menghadapi sesuatu PRU atau PRN kerana ia akan mengelakkan perpecahan dalaman dalam parti politik itu selain akan membolehkan segala usaha dibuat bagi memperkenalkan dan mendekatkan calon tersebut dengan rakyat.

Lebih menarik adalah bila hampir tiada suara langsung dari dalam UMNO mahupun dari parti-parti komponen BN yang mempertikaikan keputusan MKT UMNO mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi pihak BN untuk menghadapi PRU15 ini di mana semuanya sekata bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri terbaik UMNO dan BN.

Keadaan ini sebenarnya tidaklah memeranjatkan kerana, setelah dianalisis, terdapat sekurang-kurangnya 10 faktor besar mengapa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri terbaik UMNO dan BN di mana faktor-faktor ini merangkumi banyak aspek yang berbeza, baik dari segi faktor peribadi dan corak kepimpinan mahupun hubungan baik beliau dengan pihak-pihak lain.

Pertama, Ismail Sabri adalah sesatunya tokoh politik di Malaysia, baik dari kalangan kerajaan mahupun pembangkang, yang berpeluang menjawat kedua-dua jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan sebagai Ketua Kerajaan di Kabinet. Berbanding pemimpin UMNO lain, pengalaman sebagai Ketua Pembangkang pastilah satu kelebihan besar.

Kedua, tiada sebab mengapa MKT UMNO mahu meminggirkan Ismail Sabri setelah beliau terbukti akur dengan semua keputusan parti, termasuk melaksanakan semua enam ketetapan yang diputus untuk dilaksanakan oleh beliau oleh MKT UMNO pada 27 Ogos 2021, dan setelah MKT UMNO sendiri berjanji mendokong penuh dan akan membantu beliau.

Ketiga, selaku Perdana Menteri, Ismail Sabri telah mencatatkan banyak kejayaan yang menjadikan beliau popular, termasuklah mengemudi negara keluar dari pandemik Covid-19 selain merealisasikan beberapa inisiatif baru dan besar dalam pentadbiran, di mana kepopularan beliau ini akan menaikkan ‘rating’ UMNO dan BN dalam politik negara.

Keempat, dari segi faktor peribadi, Ismail Sabri tidak mempunyai apa-apa ‘baggage’ dalam erti kata beliau tidak pernah terlibat di dalam apa-apa perkara kontroversi, baik dari sudut skandal moral ataupun apa-apa masalah integriti, sekali gus akan membolehkan UMNO dan BN membawa agenda urus tadbir baik (‘good governance’) tanpa apa-apa hambatan peribadi.

Kelima, dari segi corak kepimpinan, Ismail Sabri adalah diakui sebagai seorang pemimpin yang mengamalkan corak kepimpinan konsultatif yang akan mengakomodasi sedapat mungkin semua pandangan yang diberikan oleh kawan di dalam kerajaan mahupun oleh lawan di luar kerajaan serta tidak sama sekali menunjukkan sifat kuku besi dalam membuat keputusan.

Keenam, dengan imej sebagai ‘clean guy’, Ismail Sabri mempunyai hubungan yang baik dengan semua pihak, khususnya dengan aktor-aktor penting dalam pentadbiran negara yang antaranya merangkumi pihak istana dan para penjawat awam malah sifat ‘humble’ dan merendah diri beliau menjadikan beliau amat disenangi oleh rakyat bawahan dari golongan marhaen.

Ketujuh, Ismail Sabri merupakan pemimpin yang boleh diterima baik oleh para pemimpin di luar UMNO dan BN, termasuk parti-parti pembangkang, di mana ini akan menjadi satu aset besar kepada kerajaan sekiranya UMNO dan BN berjaya membentuk kerajaan secara sendirian dan kepada parti sekiranya UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendirian.

Kelapan, dalam keadaan UMNO dan BN dilihat masih belum utuh sepenuhnya maka pemilihan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ akan menghantar mesej jelas kepada semua pihak bahawa UMNO tidak berpecah sebaliknya ‘solid’ di belakang beliau sebagai faktor penyatu sekali gus memberi beliau lebih ruang untuk menyusun agenda memenangi hati dan minda rakyat.

Kesembilan, selaku Perdana Menteri, Ismail Sabri telah melancarkan atau menyatakan hasrat untuk melaksanakan beberapa inisiatif pemulihan ekonomi dan pembangunan negara yang bersifat jangka panjang, maka pengekalan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pastilah amat bersesuaian bagi memastikan ada kesinambungan dalam pelan-pelan jangka panjang itu.

Kesepuluh, pengekalan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dalam keadaan di mana jawatan Presiden UMNO dipegang oleh pemimpin lain akan menonjolkan satu model politik lebih matang seperti yang diamalkan di negara-negara maju di mana model yang mengasingkan ketua parti dan ketua kerajaan ini akan menghasilkan lebih elemen ‘semak dan imbang’.

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)