KUALA LUMPUR – Seramai 55 pelajar yang merupakan anak asnaf Asrama Darul Falah (ASDAF) diraikan dalam majlis berbuka puasa Datasonic Group Berhad malam tadi.
Pada majlis itu juga, setiap mereka menerima duit raya yang disampaikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Datasonic, Safian Mohd Yunus.
Menurut Safian, majlis iftar Datasonic itu julung kali diadakan untuk meraikan anak-anak asnaf dan rakan media.
Katanya, sejak awal tahun ini, Datasonic telah menyantuni anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Kembali ke Sekolah dan sumbangan bagi penyelenggaraan infrastruktur asrama.
“Majlis iftar ini juga termasuk dalam usaha kami untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dalam bulan Ramadan, lebih-lebih lagi Syawal yang bakal menjelang.
“Tinggi harapan kami agar segala usaha ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya pada majlis meraikan anak asnaf ASDAF di sebuah hotel, di sini.
Turut hadir, Pengerusi ASDAF, Abdul Halim Mohamed.
ASDAF yang ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 merupakan fasiliti khas untuk menempat dan menjaga anak-anak Orang Asli di peringkat menengah bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.
Ketika ini, ASDAF menempatkan 55 pelajar dari negeri-negeri Semenanjung dengan kebanyakan mereka adalah dari keluarga susah dan anak yatim. – MalaysiaGazette