Home Utama Guru bersara awal: Ada yang tak kena dengan KPM? – Mohamad

Guru bersara awal: Ada yang tak kena dengan KPM? – Mohamad

Guru kelas mula mengajar anak murid mereka pada hari pertama sesi persekolahan Penggal 1, Kalender Akademik Sesi 2022/2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu tampil menjelaskan kegusaran Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung trend guru bersara awal.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka trend bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.

Semalam NUTP dalam kenyataannya menganggarkan lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Angka ini jauh melebihi angka yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

Oleh itu, menurut beliau, intervensi kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting kerana persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah kerugian yang sangat besar kepada negara.

”Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita.

”Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti terjejas. ,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Hasan

Beliau akui pelbagai cabaran dihadapi oleh guru semasa musim pandemik sangat menguji ketahanan emosi dan psikologi mereka.

Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya menganggu tugas hakiki.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan.

Jelas Mohamad, guru adalah pemangkin sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara kerana pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

Lantaran itu, kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi.

Tegas beliau, sekiranya ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan KPM. – MalaysiaGazette