Home Nasional Isteri TMJ jumpa aktivis #justiceforbella Mona Din

Isteri TMJ jumpa aktivis #justiceforbella Mona Din

KUALA LUMPUR – Aktivis yang memperjuangkan nasib remaja Sindrom Down dikenali Bella, Mona Din bertemu isteri Tengku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam hari ini.

Mona Din berkongsi gambar pertemuan tersebut di Facebooknya sebentar tadi dengan kapsyen ringkas, “Alhamdullilah”.

Mona Din bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi perjumpaan itu atau butiran perbualan.

Aktivis itu antara pempengaruh media sosial yang aktif mendesak agar Bella yang didakwa diabaikan oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mendapat keadilan yang sewajarnya.

Sementara Khaleda pula tiga hari lalu menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu Bella.

“Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.

“Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,” tulisnya dalam Instagram.

Menurut Khaleeda, kes berkenaan pasti akan menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang pengecut agar tidak terfikir untuk melakukan tindakan serupa pada masa depan.

Suami Khaleeda, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mahu meletakkan peguam pemerhati sepanjang kes Bella berlangsung bagi memastikan remaja OKU itu mendapat keadilan.

Sementara itu rata-rata pengikut media sosial Mona Din teruja dengan pertemuan tersebut.

“Masya-Allah. Alhamdulillah bertemu di mana ni puan Mona Din? Di Istana Johor ke? semoga dipermudahkan segala urusan amin,” kata Puan Nana.

“Masya-Allah. Alhamdulillah semoga Allah permudahkan segala urusan perjuangan #justiceforbella,” komen Aina Fauzana.

“Masya-Allah. Alhamdulillah Puan Mona dapat bersua dengan Yang Mulia Cik Puan Khaleeda moga dipermudahkan urusan. Cantiknya Cik Puan Khaleeda,” komen Rozaini Zainal.

Bella yang sihat ketika diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat oleh Siti Bainun ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kesan lecur dan cedera pada Julai 2021.

Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette