Home Nasional Jangan terjerat dengan mesej ‘Home Improvement Grant’

Jangan terjerat dengan mesej ‘Home Improvement Grant’

Datuk Kamarudin Md Din. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Orang ramai supaya berwaspada dengan satu kegiatan yang mendapatkan data peribadi menggunakan taktik ‘pishing’ melalui hantaran mesej di media sosial yang menawarkan geran kewangan dinamakan ‘Home Improvement Grant’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil risikan polis mendapati pengguna media sosial akan menerima mesej daripada individu yang tidak dikenali dan menawarkan geran kewangan tersebut.

“Geran itu didakwa sebagai program yang dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama Bank Dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.

“Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan di borang permohonan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau dalam perkara berkaitan, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kegiatan itu daripada orang awam.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak tidak dikenali.

“Mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali adalah satu tindakan yang sangat berbahaya kerana maklumat peribadi adalah data yang berpotensi disalahgunakan sekiranya ia terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagi tujuan permohonan bantuan ataupun geran daripada pihak kerajaan, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terus dengan agensi atau kementerian yang berkaitan untuk maklumat lanjut.

“Jangan sesekali percaya dengan mesej yang diterima daripada pihak ketiga yang belum tentu sahih,” ujar beliau.

Orang ramai yang memerlukan nasihat atau mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan jenayah komersial, boleh merujuk segera kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.- MalaysiaGazette