KUALA LUMPUR – Media sahaja menyalurkan maklumat dan berita sebaliknya ia juga berperanan menjadi platform perjuangan dan susah senang masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd., Datuk Seri R Jeyendran berkata, isu-isu kesusahan rakyat perlu diteruskan tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia dapat membuka mata masyarakat umum tentang realiti kehidupan pada hari ini.
Malah katanya, berita seumpama itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim seperti menjelang musim perayaan.
“Baru-baru ini saya setelah membaca cerita penderitaan seorang gelandangan orang kurang upaya, Affendi Muda yang bertekad untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan begitu daif dan serba kekurangan di tengah ibu kota ini.
“Kisah Affendi yang telah Malaysia Gazette laporkan itu memang benar-benar menyentuh hati saya menyebabkan saya menyumbang sedikit sebanyak mengikut kemampuan, saya benarkan diri saya di temuramah juga selepas wartawan itu memberitahu mereka mahu lebih ramai akan tampil membantu rakyat senasib Affendi ini.
“Cerita-cerita kisah masyarakat dan isu rakyat yang diketengahkan seperti inilah yang menyebabkan ahli perniagaan atau orang korporat seperti saya mahu turut sama membantu, kita sedih lihat apa yang berlaku kepada golongan tidak bernasib baik melalui media massa dan sosial, jika tidak kita tidak akan tahu,,” katanya yang juga seorang aktivis, hari ini.
Menurut Jeyendran, media juga perlu melaporkan kebenaran dan realiti sebenar masyarakat pada masa ini.
“Banyak media lain termasuk netizen sekarang ini membantu dalam menyalurkan maklumat berguna dan tepat bagi memastikan bantuan itu benar-benar disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan.
“Semoga usaha sama murni seperti ini akan berterusan pada masa-masa akan datang, lagi ramai tampil lagi meringankan beban yang dipikul seseorang,” ujarnya. -MalaysiaGazette