KUALA LUMPUR – Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini mendesak polisĀ membuka semula kertas siasatan kes membabitkan kematian seorang bayi berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau baby Adam dua tahun lalu.
Ketua Pejuanita Wiilayah Persekutuan Bibi Sunita S.Khan berkata, baby Adam yang didakwa meninggal dunia pada 3 Mei 2020 itu dikhuatiri mempunyai unsur jenayah penderaan yang berkemungkinan menyebabkan kematian anak syurga itu.
Setiausaha Pejuang Parlimen Setiawangsa itu juga mendakwa, pihaknya mengkhuatiri kematian baby Adam yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai satu kematian mengejut dan akibat latar belakang sejarah penyakit telah menimbulkan keraguan yang boleh dipertikaikan.
“Kami terpanggil untuk membuat laporan polis sebagai mendesak pihak berkuasa membuka semula kes kematian baby syurga kita bernama Adam berusia 10 bulan yang meninggal dunia pada 3 Mei 2020 lalu.
“Ketika itu kami percaya kematian baby Adam tidak diambil kira dan diperiksa sama ada punca kematiannya tetapi apabila kes penderaan membabitkan Bella dibicarakan di mahkamah dan menjadi topik hangat rakyat kita, berita kematian baby Adam juga viral sejak kebelakangan ini kerana dia juga didakwa diasuh di pusat perlindungan rumah Bonda di bawah pentadbiran Cik Bainun.
“Oleh demikian Pejuanita percaya perkara ini (kematian Adam) adalah kes yang perlu dibuka semula dan disiasat segera kerana arwah (baby Adam) tidak dilibatkan dalam proses bedah siasat untuk mengetahui apakah punca kematiannya,” katanya kepada pemberita di hadapan Balai Polis Setiawangsa di sini pagi tadi.
Dalam laporan polis sama, Bibi Sunita juga memaklumkan seorang wanita bernama Zurianty Sudin mendakwa kematian baby Adam ada kaitan dengan penderaan di Rumah Bonda.
Ini kerana, Bibi Sunita mendakwa, ketika bayi itu dimasukkan di pusat jagaan tersebut, dia berada dalam keadaan sihat dan berisi.
Namun semasa kematiannya, Adam kelihatan amat kurus, oleh itu beliau mahu tahu sama ada kemungkinan wujud penderaan terhadap bayi tersebut.
Pihaknya juga menuntut keadilan dan menolak kemungkaran yang berlaku dan mahu keadilan terhadap ketirisan yang berlaku di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat sedangkan mereka tahu apa yang berlaku dalam struktur bangunan rumah perlindungan.
“Kita sepatutnya melindungi anak-anak ini tetapi malangnya anak-anak syurga ini telah didera, kita tidak boleh menyangkal sebab terlampau banyak bukti dan saksi sudah.
“Kita bukan sahaja mahu kes baby Adam dibuka dan disiasat semula malahan, kita juga khuatir berkemungkinan besar banyak lagi penderaan membabitkan anak anak syurga ini berlaku di rumah penjagaan (Bainun) sebelum ini yang memerlukan tindakan segera.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi telah mengesahkan menerima laporan tersebut.
“Ya, saya sahkan bahawa pada 19 April 2022 jam lebih kurang 10.30 pagi tadi pihak polis ada menerima satu laporan polis oleh seorang wanita yang mewakili NGO Pejuang Wilayah Persekutuan di Balai Polis Setiawangsa.
“Laporan ini berkaitan kematian seorang bayi di bawah jagaan rumah bonda yang telah meninggal dunia pada 3 Mei 2020.
“Pengadu mendakwa kematian bayi tersebut disyaki ada unsur penderaan sepertimana yang berlaku kepada adik Bella maka pihak polis akan menjalankan siasatan yang rapi berkaitan aduan ini agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik terhadap masyarakat,” tegasnya.-MalaysiaGazette