ALOR SETAR – Pengurus wanita sebuah syarikat terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian RM1.2 juta diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 50-an itu menerima panggilan daripada individu bernama Sabrina pada 18 Oktober tahun lalu sebelum mendakwa dia ada membuat pembelian polisi insurans berjumlah RM70,000.
Jelas beliau, mangsa menafikan pembelian polisi tersebut sebelum dia diarahkan membuat laporan polis.
“Bagaimanapun, susulan itu talian mangsa kononya disambung ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur sebelum dia bercakap dengan beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan serta Inspektor Yong.
“Mangsa kemudian dimaklumkan terdapat waran tangkap atas namanya kerana terbabit dalam pengubahan wang haram serta kes pembunuhan.
“Mangsa menafikan pembabitannya dalam semua kes tersebut sebelum dia dihubungi seorang wanita bernama Mastura yang mendakwa Timbalan Pendakwa Raya dan meminta mangsa memberikan kerjasama agar penangguhan waran tangkap dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mangsa percaya dengan kata-kata suspek sebelum mendedahkan jumlah wang dalam akaun bank dan maklumat kad debitnya.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000.
“Mangsa hanya sedar menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut selepas wang dalam dua akaun banknya berjumlah RM1.25 juta dipindahkan ke akaun pihak ketiga pada 11 April lalu.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette