KUALA LUMPUR – Penduduk yang kawasan mereka akan diambil untuk projek pembangunan harus diambil sebagai rakan kongsi, bukan jadikan mereka penghalang seperti pokok dan semak samun.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, selain itu sebarang bayaran atau pampasan perlu berdasarkan kefahaman tersebut, bukan atas dasar simpati.
“Saya ada turun ke Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang menjadi perhatian media kerana kawasan tersebut akan dibangunkan oleh pemaju.
“Beberapa deretan rumah teres dan blok pangsapuri PKNS akan diambil alih. Menurut berita, terdapat bantahan dari penduduk tempatan terhadap penyelesaian dan pampasan untuk penduduk.
“Saya berpendirian dalam sebarang pembangunan semula, penduduk tempatan iaitu pemilik kediaman perlu dilihat sebagai rakan kongsi dalam pembangunan itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, sudah tentu penyelesaian atas dasar rakan kongsi adalah berbeza daripada penyelesaian atas dasar simpati.
Katanya, pemaju mungkin akan mengeluarkan modal besar untuk memajukan pembangunan baharu, tetapi kediaman penduduk asal juga mesti dilihat sebagai modal.
“Mungkin ramai tidak setuju dengan saya, tetapi perkara yang sama berlaku dalam pertembungan antara golongan kapitalis dan pekerja sejak abad ke-19.
“Golongan kapitalis mengeluarkan modal, tetapi golongan pekerja juga berkata mereka turut mengeluarkan modal kerana tenaga mereka dan tulang empat kerat mereka adalah juga modal yang perlu diambil kira.
“Saya masih ingat ketika saya ADUN, di mana 80 rumah teres di Taman Bakti, Pandan dicadangkan diambil alih untuk membesarkan jalan masuk dari sebuah lebuhraya ke MRR2,” katanya.
Ketika itu, ujarnya, ramai penduduk bantah dan beliau sebagai wakil rakyat menyokong mereka.
Kata beliau, walaupun dibayar pampasan, tetapi adakah jumlah itu akan dapat membeli kediaman yang sepadan dengan kediaman asal mereka?
“Rumah mereka di tengah bandar dan kemungkinan besar dengan pampasan yang dibayar, mereka hanya akan mampu membeli kediaman di kawasan yang ‘hulu’ sahaja.
“Akhirnya, pengambilalihan itu tidak diteruskan, tetapi ketika itu saya adalah Exco dan suara saya didengari.
“Bagi mereka yang suara didengari, tolonglah bercakap. Saya boleh bercakap ‘without fear or favour‘, tetapi tanpa ada jawatan dalam kerajaan, sama ada besar atau kecil, suara saya mungkin tidak relevan,” katanya.
Iskandar berkata, beliau berdoa agar lebih ramai pemimpin politik akan mengambil perhatian terhadap isu itu dan semoga penyelesaian menang-menang dapat dicapai untuk penduduk Kampung Sungai Baru. – MalaysiaGazette