Home Nasional Audit KPMG mahu jumpa Najib sebelum tandatangan penyata kewangan 1MDB – Azmi

Audit KPMG mahu jumpa Najib sebelum tandatangan penyata kewangan 1MDB – Azmi

Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan penyelewengan dana RM2.3 bilion bersambung sehari suntuk di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi ke-13, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir menyambung memberi keterangan dengan menjawab soalan-dikemukakan pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah diperdengarkan hari ini bagaimana firma audit terkenal, KPMG yang mengaudit 1MDB enggan menandatangani penyata kewangan 2013 selepas mengadakan pertemuan dengan Najib yang juga pemegang saham tunggal dalam syarikat itu.

Menurut Azmi, walaupun pengurusan 1MDB telah cuba menyalurkan sebanyak mana maklumat dikehendaki oleh KPMG namun firma itu tetap berpendirian untuk berjumpa sendiri dengan Najib dan mendengar sendiri ‘semuanya’.

Jelasnya, rakan kongsi KPMG, Ahmad Nasir Abdul Wahab telah meminta untuk berjumpa dengan Najib sebelum penyata kewangan ditandatangani terutamanya tentang pelaburan 1MDB di luar negara.

Pelaburan yang dimaksudkan itu sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands, Brazen Sky Limited.

Untuk makluman, Brazen Sky Limited ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik dana pelaburan milik 1MDB yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Kata Azmi, KPMG mahu mengetahui sendiri sejauh mana pengetahuan Najib berhubung pelaburan itu.

Bagaimanapun Azmi agak terkejut dengan permintaan KPMG itu dan bertanya mengapa mahu berjumpa dengan Najib juga walaupun 1MDB telah menyalurkan semua maklumat dikehendaki.

Mendengar permintaan itu, Azmi juga mendedahkan dengan segera beliau menghubungi Jho Low dan memaklumkan perkara tersebut.

“KPMG memberitahu saya, mereka mahu dengar sendiri dari pemegang saham bahawa semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Dan jika semuanya baik, mereka akan tandatangan penyata kewangan 1MDB.

“Selepas letak telefon saya terus hubungi Jho Low dan memberitahu tentang permintaan KPMG itu, Jho Low bertanya dengan saya mengapa KPMG tidak terima sahaja semua maklumat yang telah diberikan oleh 1MDB.

“Saya beritahunya jika pertemuan itu baik dan memuaskan maka penyata kewangan itu akan ditandatangani,” katanya hari ini.

Sambung Azmi lagi, Jho Low sekali lagi bertanya kepada adakah beliau pasti dengan permintaan KPMG itu.

Sebelum ini, Azmi pernah mendedahkan Jho Low mengatur strategi dengan meminta Najib supaya tidak banyak ‘bercakap’ dengan firma audit KPMG.

Sebaliknya dakwa Azmi, Najib hanya perlu perlu mendedahkan beliau sudah diberikan penerangan tentang pelaburan serta transaksi 1MDB.

Malah dakwa Azmi, Najib juga perlu meyakinkan KPMG yang beliau mengetahui semua transaksi 1MDB dan yakin dengan dokumen dipersembahkan kepadanya.

Mesyuarat bersama KPMG itu diadakan di kediaman Najib di Langgak Duta sekitar 2013 yang turut dihadiri olehnya selain Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi ketika itu, iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Jho Low turut mengatur supaya hanya Datuk Johan Idris dan Ahmad Nasri Abdul Wahab hadir bagi pihak KPMG.

“Datuk Seri Najib telah diarahkan oleh Jho Low untuk menyatakan keyakinannya terhadap Bank BSI, di Lugano Switzerland berdasarkan fakta yang diberikan.

“Mesyuarat itu diadakan kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri penjelasan berkenaan pelaburan Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands.

“Juga mendengar sendiri pengetahuan Najib, mengenai pelaburan 1MDB di luar negara, khususnya oleh Brazen Sky Limited,” katanya ketika membaca keterangan pada November tahun lalu.

Prosiding akan bersambung esok jam 9 pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan dengan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette