Home Utama Peguambela dakwa saksi kelima, ayah ‘dibayar’ kumpulan #justiceforbella

Peguambela dakwa saksi kelima, ayah ‘dibayar’ kumpulan #justiceforbella

The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the court for the child neglect and abuse case of the Down Syndrome girl, Bella. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 20 APRIL 2022. #justiceforbella paid witness
The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the court for the child neglect and abuse case of the Down Syndrome girl, Bella. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 20 APRIL 2022. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Peguambela kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mendakwa saksi kelima kes remaja sindrom down, Bella dan ayahnya telah ‘dibayar’ oleh kumpulan #justiceforbella

Nur Aminahtul Mardiah Md Nor memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, ada pihak melihat kumpulan #justiceforbella memberikan wang kepada Yasmin Nahar Mahmood, 19 dan ayahnya.

Beliau mendakwa kejadian berlaku di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta Jumaat lalu yang disaksikan oleh beberapa individu.

“Yasmin juga beri keterangan palsu kerana Yasmin dan ayah Yasmin dibayar seperti mana disaksikan oleh beberapa individu pada Jumaat di luar mahkamah ini, wang daripada team justice for bella diberikan kepada ayah Yasmin, setuju?” tanya Nur Aminahtul Mardiah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi hari ini.

Bagaimanapun saksi pihak pendakwaan itu menolak tuduhan yang dilemparkan oleh Nur Aminahtul Mardiah.

Gerakan #justiceforbella dianggotai oleh berberapa indvidu yang memperjuangkan nasib dan keadilan buat Bella yang ditemui dalam keadaan cedera akibat didera dalam sebuah kondo yang dimiliki oleh Siti Bainun.

Kumpulan itu mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap Siti Bainun yang didakwa mereka melakukan perbuatan tersebut.

Media turut melaporkan kumpulan #justiceforbela mengadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut prihatin dengan nasib yang menimpa remaja kelainan upaya tersebut semalam.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette