Home Utama Polis cari lelaki baling batu nisan dalam masjid

Polis cari lelaki baling batu nisan dalam masjid

Cermin masjid pecah akibat dibaling batu nisan.

KULIM – Jemaah Masjid Al Ittihad di Sungai Kob di sini dikejutkan dengan penemuan batu nisan di ruang solat ketika mahu menunaikan solat Subuh hari ini.

Batu nisan tersebut ditemui jemaah berusia 60- an kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati cermin hadapan masjid terbabit turut pecah akibat dibaling batu nisan itu.

Cermin masjid pecah akibat dibaling batu nisan.

Siasatan polis juga mendapati batu nisan tersebut dicabut dari tanah perkuburan bersebelahan masjid sebelum dibaling ke arah masjid.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid mendapati kejadian itu dilakukan seorang lelaki yang memakai jaket berwarna dan jeans biru.

Tangkap layar menunjukkan suspek masuk sebelum bertindak membaling batu nisan di Masjid Al Ittihad, Kulim, Kedah hari ini.

“Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 4 pagi dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Mohd Asnizaf Alias di talian 013 435 8399. – MalaysiaGazette