BULAN Ramadan telah separuh kita lalui, namun masih ada yang masih khuatir atau was-was untuk melakukan rawatan pergigian kerana takut terbatal ibadah puasa. Ada yang sanggup menahan kesakitan gigi sehingga waktu berbuka atau ada yang ingin menunggu sehingga berakhirnya bulan Ramadan. Perbuatan ini adalah satu tindakan yang menzalimi diri sendiri kerana hampir kesemua rawatan pergigian tidak membatalkan puasa.
Jangan menahan sakit dan derita kerana anggapan yang tidak betul mengenai pembatalan puasa di bulan Ramadan. Terdapat pelbagai rawatan pergigian yang masih boleh dilakukan semasa berpuasa tanpa sedikitpun mengurangkan pahala,
antaranya ialah rawatan tampalan gigi, rawatan akar, pemutihan gigi, cabutan, pembuatan gigi palsu, pencucian atau penskaleran gigi dan rawatan pendakap gigi.
Menurut laman sasawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada dinyatakan bahawa keputusan majma’ al-Fiqhi al-Islami (No. 93 (1/10) pada tahun 1997 menjelaskan bahawa “Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut”.Perkara ini juga selaras dengan
garis panduan berpuasa bagi pesakit yang dikeluarkan pada tahun 2013 oleh Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM). Menurut garis panduan ini, rawatann tampalan gigi, cabutan atau pemberusan gigi tidak membatalkan puasa dengan syarat pesakit tidak menelan sebarang bahan ketika rawatan dijalankan.
Ketika rawatan pergigian seperti tampalan atau penskaleran gigi dijalankan, alatan yang digunakan oleh doktor gigi akan mengeluarkan semburan air. Untuk mengelakkan daripada air semburan itu bertakung di dalam mulut pesakit, doktor gigi akan meletakkan sejenis alat penyedut ke dalam ruang mulut pesakit. Alat ini juga berfungsi untuk menyedut segala air liur, kotoran, sisa makanan dan sebarang bahan yang mungkin terdapat di dalam mulut ketika rawatan.
Maka tidak timbul sebarang isu tertelan bahan atau air semasa rawatan pergigian dijalankan. Pesakit perlu menenangkan diri dan yakin bahawa segala bahan dan air di dalam mulut akan disedut keluar. Bagi rawatan cabutan gigi pula, ubat bius yang dicucuk ke dalam mulut, otot, sendi atau pembuluh darah tidak membatalkan puasa. Menurut Lembaga Fatwa Mesir, Dar al-Ifta, mencabut gigi bagi orang yang berpuasa adalah dibenarkan kerana tidak ada bahan yang masuk ke dalam perut dan darah daripada prosedur cabutan gigi dan tidak mempengaruhi puasa.
Cuma semasa cabutan gigi dilakukan, pesakit perlu berhati-hati agar tidak menelan darah yang keluar dari soket gigi yang dicabut. Pesakit perlu mengigit kapas yang disediakan sehingga darah berhenti. Kebiasaannya darah akan berhenti mengalir dalam masa 30 minit hingga 1 jam. Sekiranya terdapat pendarahan yang berlebihan dan tidak berhenti, pesakit perlu berjumpa dengan doktor gigi semula. Doktor yang merawat akan meletakkan bahan pembekuan darah ke dalam bekas cabutan atau menjahit luka cabutan tersebut.
Bagi sesetengah gigi yang sakit dan rosak teruk, doktor gigi akan melakukan rawatan seperti rawatan salur akar. Doktor akan meletakan bahan pergigian ke dalam gigi yang rosak itu bagi membersihkan dan melegakan kesakitan pada gigi tersebut. Menurut fatwa Syeikh Hasanain Makhluf (Mantan Mufti ad-Diyar al-Misriyyah) yang senada dengan fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, meletakkan sesuatu bahan pada gigi yang sakit adalah tidak membatalkan puasa.
Secara kesimpulannya, rawatan pergigian masih boleh dilakukan semasa sedang berpuasa. Janganlah menyeksa diri dengan menahan kesakitan gigi sehingga waktu berbuka. Gigi yang sakit masih boleh dirawat dan jatuh dalam kategori darurat. Lakukan rawatan dengan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan melarat. Gigi tanpa kesakitan membolehkan amalan ibadah di bulan Ramadan dapat dilakukan dengan lebih tenang dan khusyuk.
Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia &
Prof Madya Dr Asma Alhusna Abang Abdullah
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia