Home Utama Terkaku lihat 6 tahanan Rohingya dirempuh kereta – Saksi

Terkaku lihat 6 tahanan Rohingya dirempuh kereta – Saksi

Rohingya detainees Immigration depot escapees riot
Tiga etnik Rohingya berjaya dikesan sebelum dibawa balik ke Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap.

BANDAR BAHARU – “Saya dan rakan sempat menjerit kepada etnik Rohingya yang meluru ke arah lebuh raya supaya tidak melintas, namun tidak dihiraukan sebelum enam daripadanya dilanggar kereta,” kata saksi tahanan lolos Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap hari ini.

Menceritakan detik ngeri itu, Syamsuddin Che Adni, 29, berkata, enam etnik terbabit dilanggar kenderaan tersebut di Kilometer 165 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi.

“Kami semua terkaku sebaik melihat insiden tersebut dan saya cuba untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dianggarkan berumur lapan tahun namun gagal.

“Saya sempat memangku kanak-kanak itu sebelum mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui berhampiran Depot Imigresen Sementara di Relau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Syamsuddin berkata, terdahulu mereka terserempak dengan kumpulan etnik Rohingya berjalan sambil menjerit ‘bebas! bebas’ berhampiran perkampungan Relau di sini.

Katanya, ketika menghampiri kumpulan tersebut, mereka memberitahu telah melarikan diri dari depot tahanan imigresen selepas seorang rakan mereka meninggal dalam tahanan didakwa tidak diberikan ubat.

“Saya sempat bertanyakan kepada seorang anggota Rela sama ada anggota keselamatan itu memerlukan bantuan penduduk kampung atau tidak sebelum saya bersama empat rakan yang lain mengepung lebih 50 etnik terbabit.

“Kami mengekori baki tahanan yang melarikan diri itu dan mereka dipercayai berjalan kaki tanpa memakai kasut kira-kira 10 kilometer untuk menuju ke lebuh raya serta Kampung Bukit Rambai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Safuan Mohd Rozi, 19, berkata, bunyi bising di luar rumah pada waktu sahur menimbulkan kebimbangan sebelum penduduk keluar melihat sekumpulan individu berarak secara beramai-ramai.

“Saya bersama rakan lain memujuk beberapa etnik Rohingya tersebut agar menyerahkan diri demi keselamatan mereka.

“Ada yang ikut kata-kata kami untuk pulang semula ke depot manakala sebahagian lagi teruskan perjalanan menghala ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seramai 528 etnik Rohingya merusuh sebelum melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini.

Sehingga kini, 362 individu telah berjaya dikesan dan usaha menjejaki baki tahanan sedang giat dijalankan polis Kedah dengan kerjasama Kontinjen Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Politikus Pak Pandir perlu adil kemaruk undi migran pelarian selepas kemaruk undi baka timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris walaupun tanah rizab Melayu sekangkang kera kini tinggal 12% diduduki migran timah dan getah lebih kecil berbanding tanah Palestine diduduki migran Yahudi. Xinjiang dan Kashmir pun diorang kebas.

Comments are closed.