Home Utama Bakal jemaah haji jadi giliran tahun 2020, 2021 akan diberi keutamaan –...

Bakal jemaah haji jadi giliran tahun 2020, 2021 akan diberi keutamaan – TH

Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan 14,306 bakal jemaah haji tahun ini supaya memberi maklum balas terhadap surat tawaran tunai haji dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal haji yang giliran tunai haji mereka pada tahun 2020, diikuti giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022.

Ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga telah dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.

Menurut Amrin, TH telah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci.

”TH ingin menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk sijil vaksinasi Covid-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa. TH akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyambut baik pengumuman Kerajaan Arab Saudi yang memberikan kuota sebanyak 14,306 kepada Jemaah Haji Malaysia bagi menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan menyifatkan berita ini merupakan satu berita baik buat TH dan bakal Jemaah Haji Malaysia.

”Kuota yang diagihkan kepada Jemaah Haji Malaysia adalah dalam lingkungan 45 peratus dari jumlah kuota sebelum ini. Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi, dan yakin penilaian serta penelitian semua aspek telah dibuat bagi memastikan keselamatan para jemaah haji yang datang dari segenap pelusuk dunia terjamin,” tambah beliau.

Kuota haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum ini adalah 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara.

Pada tahun 2019, kuota haji Malaysia adalah 31,600 orang namun pada tahun ini ibadat haji hanya dibenarkan untuk 1 juta jemaah sahaja mengambil kira kriteria penjagaan kesihatan berbanding sekitar 2.5 juta jemaah pada tahun 2019. – MalaysiaGazette