Home Sukan ESI Hub bakal jadi hab e-sukan kebangsaan

ESI Hub bakal jadi hab e-sukan kebangsaan

Hab Esports Integrated (ESI) di Spacerubix, Puchong. Foto FAREEZ FADZIL, 21 APRIL 2022.

PUCHONG – ESI Hub bakal jadi hab sukan elektronik kebangsaan sekali gus menjadi penanda arasĀ  pembangunan industri sukan elektronik tempatan yang kian meningkat.

Pembangunan di Spacerubix, Puchong itu bertujuan memberikan akses kepada komuniti sukan elektronik tempatan mengembang dan mengasah bakat, selain untuk program latihan, pencarian bakat, dan juga sebagai platform pertandingan e-sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Esport Integrated, Ahmed Faris Amir bercakap kepada media selepas pada Pelancaran Hab Sukan Elektronik Kebangsaan (ESI Hub) di Spacerubix, Puchong. Foto FAREEZ FADZIL, 21 APRIL 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Esports Intergrated, Ahmed Faris Amir, Esports Intergrated adalah sebuah inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina struktur menyokong pembangunan ekosistem yang lebih rancak, mampan dan inklusif.

Jelas beliau, ESI Hub boleh memuatkan kapasiti 200 orang dalam satu masa, dan dilengkapi 13 ‘gaming room’, dan sebuah dewan pertandingan.

Ruang permainan elektronik di Hab Esports Integrated (ESI) di Spacerubix, Puchong. Foto FAREEZ FADZIL, 21 APRIL 2022.

Secara amnya, ESI Hub diklasifikasikan sebagai pusat siber atau cybercafe untuk komuniti setempat, selain dijadikan pusat latihan dan pertandingan.

“Lepas ini, penggiat seperti industri e-sukan, termasuk strimer dan juga pengulas
e-sukan dialu-alukan untuk menggunakan kemudahan terkini yang disediakan sini” katanya.

Jelas Ahmed, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadikan ESI Hub sebagai Rumah E-Sukan Malaysia.

“Latihan Asian Games berkemungkinan besar akan dianjurkan di sini (ESI Hub) kerana kalau nak dibandingkan dengan pusat-pusat lain yang dimiliki kerajaan, hab ini paling canggih dan patut dijadikan pusat latihan,” katanya.

Pada masa sama, untuk penganjuran bersama rakan strategi dan kolaborasi, ESI Hub akan mula membuka talian hari ini seterusnya menjemput pemilik pasukan, penganjur, penerbit permainan untuk membuat program di situ.

Selain itu, ESI Hub turut menawarkan ESI Masterclass, sebuah program untuk mengajar penggiat-penggiat dan pakar seperti pengulas, ‘streamer’, dan juga penganjur e-sukan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali berucap pada Pelancaran Hab Sukan Elektronik Kebangsaan (ESI Hub) di Spacerubix, Puchong. Foto FAREEZ FADZIL, 21 APRIL 2022.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali menyempurnakan upacara pelancaran hab sukan elektronik ESI Hub, disini.

Projek hub e-sukan sebelum ini telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Parlimen sebagai sebahagian daripada perbelanjaan peruntukan sukan elektronik dalam Belanjawan 2020.

Menurut Ramona, hub ini merupakan sebahagian pelan strategik pembangunan sukan elektronik KBS 2020 hingga 2025 yang telah dilancarkan pada tahun 2019, bertujuan untuk membangunkan dan mengembangkan ekosistem sukan elektronik dalam negara ke peringkat lebih tinggi.

KBS akur industri sukan elektronik merupakan satu industri yang sedang berkembang rancak di dalam dan luar negara, dan di Malaysia menyaksikan industri tersebut rapat dihati belia-belia.

Justeru, KBS berhasrat menarik lebih ramai belia dan menyeru golongan itu untuk terlibat sama dalam membangunkan indsutri e-sukan ini.

“Pemain-pemain professional tempatan kini dikenali ramai dan berjaya menempa nama dengan menyertai dan menjuarai pelbagai pertandingan e-sukan di dalam dan luar negara”

“Industri ini diterima baik dalam kalangan masyarakat, dan telah beralih menjadi personaliti ternama sama ada di peringkat television, pengulas sukan, ataupun media sosial” katanya semasa pelancaran ESI Hub. – MalaysiaGazette