Home Nasional MARA Corp, RCB agih bubur lambuk

MARA Corp, RCB agih bubur lambuk

KUALA LUMPUR – Amalan pemberian bubur lambuk di kawasan sekitar Sungai Besi, di sini, bersambung setelah hampir dua tahun terhenti berikutan penularan Covid-19.

Hari ini, Majlis Amanah Rakyat menerusi MARA Corporation Berhad (MARA Corp) dan subsidianya, Rural Capital Berhad (RCB) bersama MalaysiaGazette mengagihkan kira-kira 500 bekas bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Menurut Ketua Pegawai Operasi RCB, Razali Hassan, selain mereka yang memerlukan, pihaknya juga mensasarkan pengagihan kepada petugas barisan hadapan seperti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Sungai Besi.

“Diharap program CSR kami ini dapat menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan yang banyak berkorban selama ini,” katanya.

Temubual bersama Ketua Pegawai Operasi Rural Capital Bhd, Razali Hassan pada Program Agihan Bubur Lambuk MG dan RCB di Balai Bomba Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2022.

Pentadbir Interim MARA Corp, Norhisham Nordin yang turut serta dalam program tersebut teruja dapat menzahirkan penghargaan terhadap petugas barisan hadapan yang banyak berkorban demi kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah. Pihak syarikat, kami yang berada di sini berbesar hati dapat memberi sumbangan dan merasai kemeriahan melihat penerimaan mereka yang mengambil bahagian dalam program ini,” jelasnya.

Tambah Norhisham, beliau berharap pada masa hadapan MARA Corp, RCB dan anak syarikat MARA yang lain dapat menjalankan lebih banyak program supaya dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan perniagaan khususnya dalam kalangan kaum Melayu.

Temubual bersama Pentadbir Interim MARA Corp, Norhisham Nordin pada Program Agihan Bubur Lambuk MG dan RCB di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2022.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Mohd Firdaus Dzulkifli yang ditemui menyambut baik program pemberian bubur lambuk berkenaan.

“Saya anggap program ini sebagai salah satu penghargaan kepada pihak Bomba.

“Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan kerana ia sangat baik terutama melibatkan hubungan dengan pihak komuniti di sini,” ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi Rural Capital Bhd, Razali Hassan (empat kiri) menyampaikan bubur lambuk kepada Ketua Balai Bomba Sungai Besi, Mohd Firdaus Dzulkifli (empat kanan) pada Program Agihan Bubur Lambuk MG dan RCB di Balai Bomba Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2022.

Pandangan sama turut dikongsi Ketua Polis Balai Polis Sungai Besi, Insp Muhammad Sallehuddin Drahaman yang turut serta dalam program berkenaan.

“Ini merupakan program yang amat baik kerana bertepatan dengan slogan kita, ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’.

“Lebih-lebih lagi ia merupakan program yang menghargai ‘frontliner’ macam kita,” kata Muhammad Sallehuddin.

Ketua Balai Bolis Sungai Besi, Insp. Muhammad Sallehuddin Drahaman (tengah) diiringi Ketua Pegawai Operasi Rural Capital Bhd, Razali Hassan (kanan) dan Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori (dua kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada anggota polis pada Program Agihan Bubur Lambuk MG dan RCB di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2022.

Kira-kira 30 kakitangan MARA Corp dan RCB terlibat dalam program pemberian bubur lambuk berkenaan bersama sembilan kru MG Prihatin.

Dalam program terbabit, sebanyak 100 bekas bubur lambuk diberikan kepada Balai Polis dan 100 bekas lagi kepada BBP Sungai Besi.

Selain itu, MARA Corp dan RCB turut mengagihkan 150 bekas bubur lambuk di Masjid Ibn Khaldun manakala 50 bekas lagi diagihkan masing-masing di Klinik Kesihatan dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), di sini. – MalaysiaGazette