Home Seni Hidup Doakan kekuatan saya – Radhi OAG

Doakan kekuatan saya – Radhi OAG

Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes keganasan rumah tangga selepas didakwa memukul dan mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Vokalis kumpulan rock alternatif Old Automatic Garbage (OAG), Muhammad Radhi Razali menyerahkan kes dakwaan mencederakan bekas isterinya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Radhi OAG itu memohon orang ramai dan peminatnya mendoakan agar beliau kuat semangat untuk menempuhi proses perundangan itu.

“Alhamdulillah (sihat) saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

“Semoga Allah SWT pelihara keselamatan saya, doakan kekuatan saya,” katanya kepada pemberita ketika diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret 1 di sini hari ini.

Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes keganasan rumah tangga selepas didakwa memukul dan mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2022.

Terdahulu Radhi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nur Shaira Ayu Zahiri di parkir kediamannya di Kota Damansara pada Rabu lalu.

Mengikut pertuduhan, Radhi pada 19 April lalu di kediamannya di Kota Damansara pukul 2.29 petang dengan sengaja mencederakan Nur Shaira Ayu.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Radhi dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8.53 pagi tadi dengan menaiki van polis berwarna putih dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap. – MalaysiaGazette