UNITED KINGDOM – Manchester United dengan bangganya mengumumkan pelantikan Erik ten Hag sebagai pengurus tetap pasukan pertama pada Khamis lalu.
The Red Devils telah membuat pengumuman rasmi itu menerusi satu kenyataan rasmi dalam laman web utama kelab itu.
Kini bekas pengurus kelab Belanda, Ajax itu dalam proses mendapatkan visa permit kerja ke United Kingdom.
Dia dijangka mengambil alih tugas itu secara rasminya daripada pengurus Interim Ralf Rangnick pada Jun ini sejurus selepas menamatkan saingan Liga Belanda bersama Ajax yang berbaki lima perlawanan lagi.
Ten Hag telah memeterai perjanjian kontrak selama tiga tahun sehingga 2025 tambahan setahun sehingga 2026.
Pengarah Bola Sepak Manchester United, John Murtough berkata, sepanjang tempoh pengurusan bersama Ajax selama empat tahun lalu, Erik berjaya membuktikan keupayaannya sebagai salah seorang jurulatih yang berjaya di benua Eropah.
“Kejayaan mentransformasikan Ajax sebagai pasukan yang mempamerkan mutu perlawanan bola sepak yang menarik dan bersifat menyerang selain komitmen dalam merekrut pemain muda dalam skuad pertama,” katanya.
Menurutnya sepanjang perbualan bersama Erik sebelum disenarai pendek untuk dilantik sebagai pengurus baharu kelab Theatre Of Dreams, pihak pengurusan tertingginya sangat berpuas hati dengan visi jangka panjangnya.
“Kami mengucapkan Erik selamat maju jaya dalam tugasannya menamatkan saingan liga Belanda bersama Ajax sebagai juara liga musim ini.
“Kelab tidak sabar untuk menyambut beliau ke Manchester United selepas misinya selesai di Belanda nanti,” tegasnya.
Dalam pada itu disusuli pengumuman itu, Erik menganggap pelantikan itu sebagai satu penghargaan tertinggi kepadanya.
Selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat oleh kelab 21 November lalu, Ralf Ragnick dilantik sebagai pengurus Interim selama enam bulan sementara membantu pelantikan pengurus tetap menggantikannya pada musim baharu Liga Perdana Inggeris 2022/23.-MalaysiaGazette -https://www.manutd.com/en/news/detail/erik-ten-hag-appointed-as-man-utd-manager-official-statement