Home Politik Pas Leak cubaan rosakkan hubungan sesama parti Melayu – Idris

Pas Leak cubaan rosakkan hubungan sesama parti Melayu – Idris

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (kiri) ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 APRIL 2022

PUTRAJAYA – Pendedahan beberapa pihak mengenai dokumen minit mesyuarat Pas (Pas Leak) jelas satu cubaan memecahbelahkan hubungan baik parti itu dengan parti-parti Melayu lain.

Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perbuatan itu adalah satu yang tidak bertanggungjawab.

“Saudara (wartawan) pun mengaji bab media kan kita nak ambik sumber ini biarlah sumber yang betul. Nama pun leak (bocor) biarlah kita ambil yang jelas.

“Nama leak ini rubbish (sampah) kata MB (Menteri Besar) Terengganu saya setujulah. Sampahlah,” katanya.

Idris berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena program townhall dan pelancaran Buku Keluarga Malaysia Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Purtajaya (PICC), hari ini.

Rabu lalu, tular dalam media sosial beberapa keratan minit mesyuarat dan agenda parti itu yang mana tercatat beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO serta BN ketika ini.

Malah MB Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri dalam kenyataannya menganggap dokumen itu sebagai ‘sampah’ dan menzahirkan rasa hairan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, dokumen berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Pas sebelum ini.

“Kami bermesyuarat tak pernah bincang pun bab itu. Dia orang tak ada kerja lain la tu. Orang tak ada kerja lain nak bagi laku berita, berita pun nampak tak berapa nak laku.

“Yang keduanya kadang nak bagi laku saluran YouTube dia supaya orang bayar.

“Yang ketiga nak mematahkan muafakat di kalangan parti Melayu kita, di kalangan Muafakat Nasional Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menyifatkan dokumen sulit dikenali sebagai PasLeak itu sebagai sampah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak pasti dokumen Pas Leak itu betul atau tidak – Ismail Sabri