Home Nasional Prosiding mahkamah terhenti, tertuduh kes dera cucu pengsan

Prosiding mahkamah terhenti, tertuduh kes dera cucu pengsan

Rosnah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera cucu lelakinya di Mahkamah Sesyen, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Prosiding Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini hari ini tertangguh seketika selepas orang kena tuduh (OKT) wanita bagi kes dera cucu lelakinya tiba-tiba pengsan.

Tertuduh, Rosnah V. S. Mydin, 48, rebah sewaktu dalam kandang tertuduh ketika pertuduhannya terhadapnya sedang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang dan persidangan diteruskan semula selepas seorang doktor yang secara kebetulan berada di dalam mahkamah sama memeriksa kesihatan wanita itu.

Terdahulu, Rosnah mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendera kanak-kanak berusia lima tahun yang juga cucu lelakinya dalam kejadian di sini pada bulan ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin selain tiga syarat tambahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Blok H-15-6 Flat Padang Tembak dalam daerah Timur Laut pada waktu siang bulan ini.

Atas kesalahan berkenaan dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Amira Ruzaini memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan bimbang dia akan mengganggu saksi yang juga ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam mendakwa mempunyai pelbagai penyakit kronik antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sebelum mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Mazdi turut meletakkan tiga syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan sehingga perbicaraan selesai selain menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan berjumlah atau mengganggu saksi perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen selain mengarahkan tertuduh melantik peguam. – MalaysiaGazette