Home Nasional Sindiket dadah perkampungan nelayan diserbu dalam Op Tapis Khas 3

Sindiket dadah perkampungan nelayan diserbu dalam Op Tapis Khas 3

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar-gambar tangkapan operasi tapis khas siri 3 dan penempatan jeti haram perkampungan nelayan dan 168 kaawasan pot-pot aktif pada sidang media di Menara 2, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sindiket yang bertapak di perkampungan nelayan melalui jeti haram dan lokasi aktif penyeludupan dan pengedaran dadah akhirnya digempur polis secara besar-besaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan menerusi Operasi Tapis Khas Siri 3 di seluruh negara antara 18 hingga 20 April lalu.

Operasi khas tersebut melibatkan seramai 2,231 pegawai dan anggota.

Katanya, dalam operasi khas itu, sebanyak 113 penempatan jeti haram dan perkampungan nelayan dan 168 kawasan kawasan aktif telah digempur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan operasi tapis khas siri 3 dan penempatan jeti haram perkampungan nelayan dan 168 kaawasan pot-pot aktif di Menara 2, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2022.

“Sepanjang operasi berkenaan, seramai 4,671 orang telah ditahan dan diperiksa. Hasilnya seramai 3, 724 daripadanya yang berusia antara 13 hingga 70 tahun berjaya dicekup atas pelbagai kesalahan dadah manakala 189 daripadanya adalah warga asing.

“Seramai 618 daripadanya adalah tokan dadah dan 1,719 orang merupakan penagih manakala 174 lagi adalah individu dikehendaki yang ditangkap di 113 jeti haram dan 168 port aktif yang telah diserbu di seluruh negara,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Ops Tapis Khas Siri 3 di Bukit Aman pagi ini.

Menurut Ayob Khan, objektif Op Tapis bagi mengesan dan menangkap tokan dadah di penempatan jeti haram dan perkampungan nelayan serta memusnahkan kawasan penagihan dadah.

Operasi yang sama juga mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar, mengesan dan menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah.

Tambahnya, serbuan paling banyak dilakukan di Perak dengan 14 jeti haram diikuti 12 di Sabah dan masing-masing 11 jeti haram di Johor, Kedah dan Sabah.

Menurutnya, pihaknya menahan 3, 574 lelaki dan 150 wanita atas pelbagai kesalahan semasa operasi tersebut yang mana sembilan daripadanya merupakan penjawat awam yang terdiri daripada empat agensi penguat kuasa dan bakinya dari jabatan kerajaan.

“Daripada sembilan orang itu, tiga disahkan positif dadah manakala enam lagi memiliki air ketum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan operasi tapis khas siri 3 dan penempatan jeti haram perkampungan nelayan dan 168 kaawasan pot-pot aktif di Menara 2, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2022.

“Tangkapan kita juga membabitkan enam orang pelajar iaitu dua pelajar institusi pengajian tinggi awam, empat pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 22 tahun kerana memiliki dadah dan positif THC manakala tujuh lagi remaja berusia 13 tahun merupakan penagih dadah dan tidak bersekolah,” ujarnya.

Tegas Ayob Khan, kesemua tahanan itu kini sedang direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan ADB (LLPK) 1985.

Hasil daripada serbuan dan tangkapan itu, pasukannya berjaya melakukan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.01 juta dan sitaan pelbagai aset bernilai RM2.90 juta, 38 kenderaan mewah bernilai RM452,000 serta sejumlah wang tunai disyaki hasil kegiatan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan operasi tapis khas siri 3 dan penempatan jeti haram perkampungan nelayan dan 168 kaawasan pot-pot aktif di Menara 2, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2022.

“Dadah jenis syabu merupakan barang terlarang yang paling banyak dirampas di jeti haram perkampungan nelayan dan port-port aktif iaitu sebanyak 22.96 kilogram.

“Kita akan meneruskan Ops Tapis Khas ini di seluruh negara setiap bulan di semua kontinjen supaya memberi impak lebih berkesan untuk membanteras ancaman najis dadah dalam kalangan masyarakat,” tegasnya. – MalaysiaGazette