Home Utama Tahanan lolos : 96 etnik Rohingya masih diburu

Tahanan lolos : 96 etnik Rohingya masih diburu

The members of D9 Kedah Police Headquarters and the General Operations Force (GOF) searching for the Rohingya ethnic escapees who broke out from the Relau Immigration Detention Centre at Sungai Bakap, Bandar Baharu, Kedah.
Pegawai dan anggota D9 IPK Kedah bersama PGA sedang melakukan pencarian etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu, Kedah.

BANDAR BAHARU – Seramai 96 tahanan etnik Rohingya yang masih bebas dan diburu selepas mereka meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ketika ini pelbagai tindakan giat diambil bagi mengesan kedudukan kesemua mereka.

Kata beliau, seramai 34 tahanan di berkas semula semalam menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang ditahan seramai 432 orang.

“Mereka terdiri daripada 218 lelaki, wanita (88), kanak-kanak lelaki (65) dan kanak-kanak perempuan (61).

“Manakala baki 96 tahanan yang masih diburu pula membabitkan 76 lelaki, sembilan wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, seramai 528 etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini pada Rabu lalu.

Enam daripada jumlah tahanan itu dilaporkan maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang. – MalaysiaGazette