KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menempatkan 1,500 Pembantu Khidmat Pelanggan (CSA) di plaza dan lorong tol sepanjang lebuh raya untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang menghadapi masalah transaksi tol di lorong.
Selain itu, PLUS juga akan menempatkan kakitangan tambahan dari Ibu Pejabat untuk memberikan sokongan di plaza-plaza tol utama di seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, langkah-langkah itu merupakan tumpuan yang dilakukan untuk meminimumkan kesesakan di 1,100 lorong tol di 94 plaza tol di sepanjang lebuh raya itu mulai 29 April hingga 9 Mei.
Ia termasuk memastikan kelancaran perjalanan dan keselesaan di Kawasan Rehat dan Rawatnya (R&R) bagi menampung keperluan 2 juta kenderaan yang akan melakukan perjalanan pulang ke kampung setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
”Saya juga ingin mengingatkan pelanggan lebuh raya kami untuk menjangkakan masa perjalanan yang lebih panjang ke destinasi mereka kerana kami meramalkan kemungkinan berlaku kesesakan akibat jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya, namun anda boleh merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan Aplikasi PLUS dan juga ikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang akan dikeluarkan tidak lama lagi serta menggunakan Waze dan Google Map untuk jangkaan pelan laluan perjalanan,” katanya.
Pada ketika ini, terdapat tiga mod bayaran tol yang disediakan di plaza tol iaitu kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan yang terbaharu, RFID sebagai pilihan tambahan kepada mod pembayaran yang sedia ada.
Pemandu dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya.
Sebagai contoh, sekiranya pelanggan menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya melalui Plaza Tol Jalan Duta, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain.
PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka, jelas beliau lagi.
Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara termasuk di lebuh raya, mesin ATM, stesen-stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya.
Jumlah ini termasuk 67 Kiosk Layan Diri (SSK) di plaza-plaza tol terpilih.
Selain itu, terdapat 22 kaunter Touch ‘n Go Spot di stesen minyak terpilih sepanjang lebuh raya untuk membolehkan pelanggan membuat tambah nilai kad Touch ’n Go tanpa dikenakan sebarang caj tambahan. – MalaysiaGazette