SEREMBAN – Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan bagi memelihara kebajikan golongan ini khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan beliau sendiri untuk memastikan, semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
“Semalam mesyuarat Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk melindungi kumpulan rentan termasuk wanita.
“Mungkin bukan hanya melibatkan anak-anak kurang upaya, daya pemikiran mungkin anak yatim piatu dan OKU.
“Selain penderaan, banyak isu lain, ada ibu bapa tinggalkan anak di sini (pusat jagaan) tiada dokumen, tiada sijil kelahiran, jadi mereka tak boleh belajar dan sebagainya,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke pusat jagaan kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dianggotai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Tambahnya, dengan wujudnya jawatankuasa itu membolehkan kerajaan mengenal pasti akta-akta sedia ada sudah lama (tidak relevan) dan perlu dilakukan pindaan supaya pembelaan boleh dilakukan.
“Masih banyak Akta lapuk dan perlu dipinda bagi membolehkan pembelaan kepada kanak-kanak, OKU dan warga emas dapat dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga akan melihat operasi institusi-institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik.
“Setakat ini, sebanyak 4,384 institusi pengajian agama yang berdaftar di seluruh negara termasuk 1,208 maahad tahfiz swasta dan 272 sekolah pondok dan madrasah.
“Bagaimanapun, dilaporkan terdapat lebih 1,000 institusi pengajian agama termasuk pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri,” katanya.
Perdana Menteri juga mengakui kegagalan pusat-pusat tahfiz didaftarkan disebabkan kerenah birokrasi yang menyukarkan operator institusi pengajian Islam itu.
“(Daftar pusat tahfiz) sukar diluluskan kerana banyak birokrasi.
“Kita akan panggil mesyuarat khas dengan kadar segera.
“Kita tidak mahu insiden kebakaran seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017 berulang semula,” katanya.
Selain pusat tahfiz, sehingga kini terdapat sebanyak 1,898 Pusat Jagaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,255 adalah Pusat Jagaan Kanak-Kanak, Pusat Jagaan OKU (202), Pusat Jagaan Warga Emas (383), Pusat Jagaan Wanita (10) dan pelbagai (48).
“Kerajaan turut mengesan terdapat 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan perakuan pendaftaran JKM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette