Home Nasional Pegawai bomba meninggal dunia ketika tidur

Pegawai bomba meninggal dunia ketika tidur

Mohd Samsul Yazid Khamis

MELAKA – Seorang pegawai bomba ditemukan meninggal dunia ketika sedang tidur di bilik rehat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Jasin, di sini.

Mohd Samsul Yazid Khamis, 42, disahkan meninggal dunia jam 2.15 petang oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kejadian petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdani berkata, pihaknya menerima laporan pegawai perubatan Hospital Jasin memaklumkan pegawai terbabit meninggal dunia pada jam 3.07 petang.

“Kejadian disedari jam 2 petang Khamis lalu ketika siren panggil nama dibunyikan, Mohd Samsul tidak hadir sebelum rakannya pergi ke bilik menunggu pemandu dan nampak beliau sedang tidur.

“Ketika cuba dikejutkan, pegawai berkenaan tidak memberikan tindak balas sebelum memaklumkan perkara itu kepada penyelia serta ketua balai,” katanya.

Menurut Mispani, siasatan awal di tempat kejadian menemui buku rawatan kesihatan milik mangsa yang dipercayai seorang penghidap penyakit jantung dan kencing manis.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya akibat pembuluh darah utama jantung tersumbat,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan catatan di Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halaman di Parit Bakar Darat, Jalan Seri Tanjung, Muar, Johor selepas bedah siasat.

Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Bakri, Muar, Johor. – MalaysiaGazette