Home Nasional Polis benteras penyeludupan kontraban, bunga api, hidupan liar lebih RM9 juta

Polis benteras penyeludupan kontraban, bunga api, hidupan liar lebih RM9 juta

Antara barang kontraban dan kenderaan sindiket penyeludupan yang dirampas oleh CPSK dan PGK dalam empat kes di ibu negara dan juga Perak bermula 20 hingga 22 April lalu. Ihsan JKDNKA

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam
(JKDNKA) Bukit Aman membenteras penyeludupan kontraban, bunga api dan hidupan liar menerusi beberapa operasi dengan rampasan berjumlah RM9,296,086.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rampasan itu dilakukan menerusi pelaksanaan tiga operasi pada 20 hingga 22 April lalu iaitu Operasi Kontraban, Operasi Letup dan Operasi Bersepadu Khazanah.

Katanya, dalam serbuan pertama pada 20 April lalu di bawah Op Bersepadu Khazanah, pasukan serbuan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) JKDNKA telah berjaya menahan dua lelaki warga tempatan di sebuah premis kediaman yang terletak di Setapak, dekat sini, serta berjaya merampas dua ekor burung spesies murai batu yang dianggarkan bernilai RM160,000.

Antara barang kontraban dan kenderaan sindiket penyeludupan yang dirampas oleh CPSK dan PGK dalam empat kes di ibu negara dan juga Perak bermula 20 hingga 22 April lalu. Ihsan JKDNKA

“Dalam operasi tersebut juga pasukan serbuan berjaya mengesan sebuah stor yang menyimpan sejumlah 186 kotak pelbagai jenis bunga api yang dianggarkan bernilai RM650,000 sekaligus keseluruhan nilai rampasan bagi operasi ini adalah RM810,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Manakala pada 21 April lalu, di bawah Op Kontraban, CPSK telah melancarkan serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak yang dikesan menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok.

“Dalam operasi tersebut, pasukan serbuan telah menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas sejumlah 13,133 karton rokok putih, 3,300 karton rokok kretek dipercayai
diseludup masuk yang dianggarkan bernilai RM6,764,417 selain sejumlah wang tunai RM103,000 dan beberapa keping cek serta tiga buah kenderaan jumlah keseluruhan
rampasan dianggarkan bernilai RM6,976,130,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan ketiga pada Jumaat, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Tambun, Perak telah berjaya ditumpaskan.

“Hasil serbuan, pasukan serbuan telah berjaya merampas sejumlah 3,349 karton rokok putih seludup pelbagai jenama, 253 karton rokok kretek seludup pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Antara barang kontraban dan kenderaan sindiket penyeludupan yang dirampas oleh CPSK dan PGK dalam empat kes di ibu negara dan juga Perak bermula 20 hingga 22 April lalu. Ihsan JKDNKA

“Justeru, berdasarkan statistik keberhasilan bermula Januari sehingga 22 April ini, pasukan CPSK, Pasukan Gerakan Khas (PGK) di bawah JKDNKA telah berjaya melaksanakan sebanyak 42 serbuan dan menahan seramai 60 orang.

“Manakala nilai rampasan keseluruhan adalah RM50,345,509.66,” ujarnya. -MalaysiaGazette